Brazil hadiahkan kemenangan buat Pele

DOHA: Brazil menampilkan persembahan terbaiknya di Piala Dunia 2022 ketika membelasah Korea Selatan 4-1 untuk menempah pertemuan dengan Croatia di suku akhir.

“Kami mengimpikan gelaran ini, sudah tentu. Hari ini adalah perlawanan keempat, masih berbaki tiga. Kami fokus untuk mendapatkan kejuaraan,” kata Neymar yang kembali memulakan permainan selepas pulih daripada kecederaan buku lali.

Selepas kekalahan Jepun di tangan Croatia menerusi penentuan penalti, dan Australia tewas kepada Argentina, penyingkiran Korea Selatan bermakna ketiga-tiga wakil Asia tewas di peringkat kalah mati.

Selepas gagal menjaringkan gol di babak pertama dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini, juara lima kali Brazil menebusnya dengan meledak empat gol ketika menentang Korea Selatan.



Mereka memerlukan hanya tujuh minit untuk meruntuhkan pertahanan Korea Selatan bagi gol pertama jaringan Vinicius Jr.

Lima minit kemudian Richarlison dijatuhkan di dalam kotak penalti dan Neymar menyempurnakan sepakan untuk gol kedua Brazil, dan gol ke-76 dirinya untuk pasukan kebangsaan – kurang satu di belakang rekod sepanjang zaman milik Pele.

Richarlison kemudian menjadikan kedudukan 3-0 dengan jaringan menarik pada minit ke-29, disusuli dengan gol Lucas Paqueta tujuh minit kemudian.

Paik Seung-Ho menyumbang gol sagu hati buat Korea Selatan pada minit ke-76, namun belum cukup untuk menghalang Brazil merebut slot ke suku akhir.



“Saya harap kami dapat terus menari sehingga ke final. Kami juga menghadiahkan kemenangan ini kepada Pele. Semoga dia cepat sembuh,” kata Vinicius.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker