Ibu tunggal maut terjatuh dari tingkat 12 hotel
MELAKA: Seorang wanita maut selepas terjatuh dari tingkat 12 sebuah hotel di Jalan Merdeka, Taman Melaka Raya, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, mayat mangsa ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di kepala sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata siasatan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Banda Hilir selepas menerima laporan pada jam 10.52 pagi.
Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak hotel mendapati mangsa berusia 55 tahun bukan tetamu dan datang ke premis itu kira-kira jam 10.23 pagi.
“Si mati kemudian naik ke tingkat 12 dan selepas lima minit, dia dipercayai terjun dari koridor laluan ke bilik hotel.
“Siasatan awal mendapati si mati adalah seorang ibu tunggal beralamat di Taman Tanjung Minyak Utama yang hilang pekerjaan sebagai penjual produk kesihatan selepas negara dilanda COVID-19 dan dipercayai mempunyai masalah kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Christopher berkata, pegawai penyiasat bersama jurufoto yang menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah.
“Mayat si mati ditemui berpakaian lengkap dalam keadaan tertiarap di atas jalan dan berlumuran darah pada bahagian kepalanya,” katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
BHOnline