Kirstie Alley meninggal dunia akibat kanser
KUALA LUMPUR: Bintang drama komedi Cheers, Kirstie Alley meninggal dunia dalam usia 71 tahun akibat penyakit kanser di Pusat Kanser Moffitt di Florida, Amerika Syarikat, semalam.
Berita pemergiannya disahkan anak-anaknya, William True Stevenson, 30, dan Lillie Price Stevenson, 28, menerusi hantaran dimuat naik dalam Facebook serta Instagram, tanpa menyebut butiran terperinci mengenai penyakit ibu mereka.
“Dukacita dimaklumkan ibu kami yang luar biasa dan penyayang meninggal dunia selepas bertarung dengan kanser yang baru sahaja diketahui.
“Beliau dikelilingi ahli keluarga terdekat bertarung dengan kekuatan hebat, namun meninggalkan kami.
“Walaupun ikonik pada skrin, beliau adalah ibu dan nenek yang lebih hebat,” katanya.
Menerusi kenyataan itu, True dan Lillie turut berterima kasih kepada pasukan doktor dan jururawat di Pusat Kanser Moffitt atas penjagaan.
“Kekuatan ibu untuk hidup demi anak, cucu dan haiwan tiada tandingan dan membuatkan kami terinspirasi untuk menjalani kehidupan sepertinya.
“Kami berterima kasih atas kasih sayang dan doa anda. Mohon menghormati privasi kami pada masa sukar ini,” katanya.
Sepanjang kerjaya, Alley dicalonkan sebanyak lapan kali bagi Anugerah Emmy yang kebanyakannya didominasi watak Rebecca Howe dalam siri televisyen NBC, Cheers.
Alley yang berasal dari Wichita, Kansas juga pernah muncul dalam filem Star Trek II: The Wrath of Khan, Drop Dead Gorgeous dan Look Who’s Talking.
AGENSI