Pele tonton aksi Brazil dari hospital

SAO PAULO: Ketika peminat bimbang dengan kesihatannya, legenda bola sepak berusia 82 tahun, Pele berkata, hari ini dia ceria menyokong pasukan kebangsaan Brazil dari hospital ketika mereka mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Dunia.

Dilabelkan banyak pihak sebagai pemain terhebat sepanjang zaman, Pele dimasukkan ke hospital dekat Sao Paulo Selasa lalu berikutan rawatan kanser kolon ketika Brazil meneruskan kemaraan mereka bagi mencari rekod enam Piala Dunia di Qatar.

Menerusi mesej di Instagram ketika skuad ‘Selecao’ menang 4-1 mengatasi Korea Selatan pada pusingan 16 terakhir, Pele berkata dia menyaksikan perlawanan itu.

“Saya sedang melihat setiap seorang daripada anda,” kata Pele, pemain tunggal menang tiga Piala Dunia (1958,1962 dan 1970) kepada pasukan itu.

‘The King’ memuatnaik gambar dirinya yang berusia 17 tahun di Stockholm, Sweden, ketika dia mengejutkan dunia dengan bakat menakjubkan bagi merangkul Piala Dunia sulung buat Brazil.

Lapan tahun sebelum itu, selepas melihat bapanya menangis apabila Brazil tewas Piala Dunia 1950 di laman sendiri kepada Uruguay, Pele berjanji satu hari nanti dia akan menang piala berkenaan.

“Pada 1958 di Sweden, saya berjalan di sekitar bandar memikirkan bagaimana untuk memenuhi janji yang dibuat kepada bapa saya,” tulis Pele..

“Saya tahu ramai rakan sepasukan kebangsaan juga membuat janji sama dan juga mencari Piala Dunia pertama mereka. Saya mahu memberi inspirasi kepada anda, rakan saya… kita bersama-sama dalam perjalanan ini. Selamat maju jaya kepada Brazil!”

Neymar dan rakan sepasukan membuatkan beliau berbangga apabila menjaringkan gol yang kembali menampilkan ‘permainan cantik’ diidamkan Pele.

Selepas perlawanan itu, pasukan berkenaan kembali ke padang membawa kain rentang tertulis ‘Pele!’ berserta gambarnya maraikan Piala Dunia 1970 bersama Brazil.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker