Rangkaian 5G Malaysia pecah rekod dunia kelajuan jarak jauh

KUALA LUMPUR: Ericsson dan Digital Nasional Bhd (DNB) baru-baru ini mencapai rekod jarak dunia untuk kelajuan Gigabit melalui rangkaian 5G Malaysia, sekali gus membuka laluan untuk kesalinghubungan yang berkualiti tinggi, mampu milik dan berkelajuan tinggi.

Ujian itu yang dijalankan pada frekuensi gelombang milimeter (mmWave) 28GHz, mencapai daya pemprosesan puncak satu Gigabait sesaat (Gbps) pada jarak rekod 11.18 kilometer dari antena radio dalam Butterworth, Pulau Pinang ke satu titik di luar pulau.

Rekod jarak terbaharu itu membuktikan keupayaan mmWave dengan sokongan perisian jarak jauh Ericsson untuk menyediakan penyelesaian sambungan Internet yang bermutu tinggi dan menjimat kos melalui Akses Tanpa Wayar Tetap (FWA) di kawasa sambungan berwayar sering menjadi mustahil atas faktor ekonomi.



Ia akan membuka jalan kepada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) tempatan untuk menyediakan kesalinghubungan yang lebih baik dan lebih luas untuk mencapai lebih pengguna serta perusahaan, kerana membolehkan penyampaian kesalinghubungan jalur lebar tanpa wayar bermutu tinggi dan menjimatkan kos melalui penyelesaian FWA dalam kawasan-kawasan liputan 5G sedia ada.

Di wilayah-wilayah mempunyai pasaran jalur lebar yang tidak mendapat perkhidmatan atau kurang mendapat perkhidmatan, FWA berpotensi besar untuk merapatkan jurang digital di lokasi luar bandar, melengkapkan transformasi digital di Malaysia yang mula meraih manfaat daripada jangkauan, kelajuan pelancaran serta pengalaman pengguna dipertingkatkan melalui rangkaian 5G.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro, berkata, dengan memanfaatkan FWA 5G dalam pencapaian ini, syarikat menunjukkan keupayaannya untuk menyediakan contoh yang kukuh bagi rangkaian 5G bertaraf dunia di Malaysia.

“Pencapaian ini akan membolehkan Ericsson bekerjasama dengan DNB untuk menyediakan kesalinghubungan secara pantas untuk sekolah, hospital, perniagaan kecil dan sederhana, dan kawasan-kawasan yang dapat meraih manfaat daripada kesalinghubungan yang cekap kos, serta ke lokasi yang kurang mendapat perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan.



Sungguhpun frekuensi mmWave mampu menyampaikan kelajuan sangat pantas, lebar jalur yang tinggi dan kependaman yang rendah, namun penggunaannya masih terhad kerana ia tidak mampu menempuh jarak lebih jauh berbanding spektrum jalur pertengahan (3.5GHz di Malaysia).

Bagaimanapun, berbekalkan inovasi perisian Ericsson yang dipertingkatkan jarak, mmWave kini boleh digunakan bagi menyokong produk FWA dalam jarak lebih jauh seperti yang ditunjukkan di Pulau Pinang.

Ini menonjolkan kepakaran teknologi 5G Ericsson dalam mengatasi cabaran jarak untuk menyampaikan kelajuan seperti gentian menerusi FWA ke kawasan luar bandar, sekali gus memacu kesalinghubungan yang lebih luas serta merancakkan digitalisasi di Malaysia.

FWA dianggap sebagai alternatif yang menjimatkan kos untuk jalur lebar tetap, khususnya di kawasan luar bandar dan pinggir banda,r di mana penggunaan gentian sangat mahal, memakan masa atau menghadapi cabaran dari segi muka bumi.



Fakta itu turut disokong oleh Laporan Mobiliti Ericsson terkini yang mengunjurkan bahawa bilangan sambungan FWA akan mencapai lebih 100 juta menjelang akhir 2022.

Malah, jumlah itu diunjurkan akan meningkat tiga kali ganda menjelang tahun 2028, iaitu lebih 300 juta.

Daripada lebih 300 juta sambungan terbabit, bilangan sambungan FWA 5G dijangka akan meningkat kepada hampir 235 juta menjelang tahun 2028, iaitu mewakili hampir 80 peratus daripada jumlah sambungan FWA.

Menurut laporan yang sama, lebih tiga perempat MNO yang ditinjau di lebih 100 negara kini menawarkan perkhidmatan FWA.



Hampir satu pertiga daripada mereka menawarkan FWA menerusi 5G, berbanding satu perlima pada tahun lalu, manakala hampir 40 peratus daripada pelancaran FWA 5G baharu dalam tempoh 12 bulan yang lalu tertumpu pada pasaran baru muncul, seterusnya menawarkan peluang besar kepada MNO di Malaysia untuk mengembangkan tawaran perkhidmatan mereka kepada pengguna.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button