Love scam: Pensyarah buat 54 pembayaran berjumlah RM203,000

11/02/2021 06:08 PM

ALOR SETAR, 11 Feb — Seorang wanita membuat 54 pembayaran berjumlah RM206,000 ke 16 akaun bank berbeza, akibat ditipu menerusi ‘love scam’ oleh individu yang hanya dikenalinya menerusi laman sosial Facebook, dalam tempoh tidak sampai tiga bulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Supt Elias Omar berkata ia bermula apabila pensyarah berusia 49 tahun itu berkenalan dan berhubung dengan individu bernama ‘Harris’, kononnya dari United Kingdom, November lepas.



Beliau berkata Harris berjanji menghantar pelbagai barang sebagai hadiah seperti beg tangan, kasut, telefon bimbit dan pelbagai jenis barangan, sehinggalah pada 17 Nov lepas apabila wanita itu menerima panggilan kononnya daripada seorang ‘ejen pos’.

Dalam satu kenyataan di sini Elias berkata ‘ejen’ itu memberitahu bahawa barang-barang itu telah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dan pensyarah berkenaan perlu membuat pembayaran bagi kos pengangkutan, cukai, caj kastam serta caj pertukaran wang.

Beliau berkata wanita itu kemudiannya membuat bayaran menerusi pindahan wang secara dalam talian sebanyak 54 kali ke 16 akaun bank berbeza membabitkan nilai keseluruhan RM206,470, dan apabila menyedari dia ditipu, wanita itu membuat laporan polis di sebuah balai polis di Kulim, semalam.

Elias berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420, Kanun Keseksaan.



Pensyarah antara dua lelaki ditahan disyaki edar dadah

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button