Tuduhan PN dibiayai syarikat judi dakwaan serius – Muhyiddin

KULIM: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Perikatan Nasional (PN) menerima pembiayaan daripada syarikat judi untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai sangat serius.

Menepis dakwaan itu, Pengerusi PN itu berkata, tuduhan dibuat Anwar itu tidak disokong bukti kukuh, selain sekadar andaian yang dibuat berdasarkan kempen meluas PN ketika PRU15.

“Ya, itu fitnah, mana buktinya? Mudah sangat nak lempar tuduhan sebegitu. Kita (PN) ada prinsip, kalau nak terima sokongan pun kita tak terima dari sumber yang haram.

“Jadi, saya tidak tahu bagaimana Perdana Menteri membuat dakwaan begitu serius hanya kerana kita menang (banyak kerusi) dan hanya kerana kita mempunyai banyak bendera atau kita telah menggerakkan jentera kita dengan berkesan dan menewaskannya sehingga UMNO mengalami kekalahan besar di lapan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas ceramah Grand Finale PN Padang Serai di Taman Selasih, di sini, malam tadi.

Semalam, Anwar ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terbabit dengan cabutan khas.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menafikan dakwaan bahawa PN berbelanja secara berlebihan untuk kempen PRU15 memandangkan gabungan itu baru wujud dua tahun, manakala BERSATU hanya ditubuhkan lima tahun lalu.

“Saya tidak mahu tuduh dia (Anwar) apa-apa, malah (tak mahu nak tuduh) mereka menerima dana politik.

“Saya rasa ia (dakwaan PN terima pembiayaan syarikat judi) satu tuduhan yang sangat serius. Kita akan lihat apa yang patut kita lakukan,” katanya ketika ditanya sama ada PN sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang susulan tuduhan itu.

Dalam perkembangan berasingan, Muhyiddin juga menafikan dakwaan berhubung penyelewengan dana RM600 bilion ketika beliau menjadi perdana menteri.

Muhyiddin berkata, beliau terkejut dengan tuduhan Anwar yang didakwanya tidak berasas.

“Sebagai perdana menteri, anda mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang anda katakan.

“Ia mesti berdasarkan fakta, ia mesti berdasarkan bukti dan tidak sepatutnya berdasarkan khabar angin,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker