Wanita Orang Asli maut dipijak gajah

Kuala Lipis: Seorang wanita Orang Asli maut dipijak gajah dalam kejadian di Kampung Simoi Baru Pos Betau, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian 4.40 pagi itu, Wak Angkat Yok Tong, 39, ditemukan meninggal dunia di kawasan pokok pisang berhampiran rumahnya.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, Balai Polis Sungai Koyan menerima laporan kejadian serangan sekumpulan gajah di kampung Orang Asli berkenaan sebelum sepasukan polis dihantar ke lokasi.

“Hasil siasatan awal, mangsa tinggal bersama lapan ahli keluarga di rumah kayu dinding buluh dan dikelilingi pokok pisang serta berhampiran kebun getah.

“Ketika kejadian mereka sekeluarga sedang tidur sebelum tersedar apabila gajah menarik dinding dan rumah bergoyang.

“Kesemua penghuni segera melarikan diri dalam keadaan gelap. Selepas berkumpul semula baru disedari mangsa tiada. Mereka mencari dan menjumpai mangsa di kawasan pokok pisang berhampiran rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia akibat parah dipercayai dipijak gajah.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Sementara itu, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor dijangka mengadakan sidang media mengenai kejadian itu di Kuala Lumpur hari ini.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker