‘Dakwaan Anwar terima RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor fitnah berulang’

Perdana Menteri ke-10 di Pejabat Perdana Menteri House, 24 November 2022. – SADIQ ASYRAF

SHAH ALAM: Dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima bayaran RM15 juta ketika menyandang jawatan Penasihat Ekonomi Selangor sekadar pengulangan fitnah.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli, berkata perkara itu juga sudah dinafikan berulang kali termasuk dalam jawapan rasmi Menteri Besar ketika itu Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Menurutnya, ketika Anwar menjadi Penasihat Ekonomi Selangor, beliau hanya diberikan gaji simbolik RM1 setahun.

“Gaji itu tidak dibayar kepada beliau sejak tarikh lantikan dan beliau tidak menerima sebarang bayaran elaun atau keistimewaan selain gaji RM1 terbabit.

“Perkara ini juga jelas tertera dalam hansard DUN Selangor menerusi jawapan kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Dengan mengitar semula rekaan yang tidak berasas ini menunjukkan keterdesakan dan kemuflisan modal politik PN dalam usaha kempen mereka setelah gagal membentuk kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Juwairiya membuat kenyataan itu susulan Muhyiddin mendakwa Anwar menerima RM15 juta ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor dalam kempen ceramah di Parlimen Padang Serai, baru-baru ini.

Juwairiya yang juga ADUN Bukit Melawati berkata, tindakan menabur fitnah serta dakwaan palsu bagi mengaburi fikiran rakyat itu sangat tidak bertanggungjawab dan jelas terkeluar daripada nadi politik Melayu-Islam yang selalu didendangkan.

“Saya yakin pengundi Padang Serai wajar menolak PN dalam pilihan raya hari ini kerana masih mahu menagih undi dengan fitnah dan rekaan.

“Saya percaya pihak Perdana Menteri wajar mengambil tindakan selanjutnya bagi menghalang pengulangan fitnah ini terus dijaja oleh mereka yang bankrap akhlak dan etika dalam berpolitik,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker