Kursus IPT tanpa akreditasi MQA tak laku

Sebaik sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), langkah seterusnya adalah melanjutkan pengajian ke mana-mana Universiti Awam (UA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mengikut prestasi masing-masing.

Namun ada kala keghairahan ini membawa padah apatah lagi jika keputusan peperiksaan tidak memberangsangkan. Berbanding menduduki semula SPM atau STPM, ada yang masih mahu melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi.

Namun, tindakan itu akhirnya memakan diri kerana gagal menempatkan diri dalam industri sesudah tamat pembelajaran gara-gara program pengajian yang diikuti tidak memperoleh perakuan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Umumnya, MQA tidak akan memberi perakuan akreditasi disebabkan faktor kemudahan pembelajaran tidak memuaskan, kurikulum program gagal mematuhi standard, tenaga pengajar tidak menepati kriteria dan pengendalian subjek wajib tidak memuaskan.

Kegagalan IPTS mendapat perakuan MQA dalam program pengajian sebenarnya sangat memberi impak negatif kepada pelajar. Misalnya, dari sudut pelaburan wang ringgit dan masa selama dua atau tiga tahun untuk memperoleh sijil, diploma atau ijazah tetapi berakhir dengan kekecewaan.

Hal ini juga menyumbang kepada peningkatan kadar siswazah menganggur misalnya daripada 3.9 peratus pada 2019 dan 2018 ke 4.4 peratus pada tahun 2020.

Statistik kajian keberkesanan graduan yang dijalankan pada tahun 2021 juga menunjukkan 42.8 peratus graduan di peringkat ijazah pertama memperoleh pendapatan sebanyak RM 2,000 dan ke bawah.

Situasi ini agak membimbangkan kerana graduan tidak menggunakan sepenuhnya pengetahuan dan kemahiran diperoleh ketika peringkat ijazah pertama.Dalam konteks ini, Kaunselor Berdaftar dan Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Nurul Hasyimah Mat Rani, berkata lepasan SPM, STPM, Matrikulasi dan peringkat sijil perlu berhati-hati dalam memilih institusi pengajian tinggi untuk melanjutkan pembelajaran.

Beliau berkata, faktor akreditasi program memainkan peranan penting dalam kebolehpasaran graduan dan mengelak daripada graduan sukar untuk mendapat pekerjaan selepas tamat belajar.

“Sistem akreditasi MQA adalah satu proses penilaian program yang mempunyai tiga peringkat iaitu akreditasi sementara, akreditasi penuh dan audit pematuhan akreditasi.

“Akreditasi sementara dijalankan sebelum sesuatu program ditawarkan bagi menilai kurikulum yang dibangunkan.

“Setelah sesuatu program ditawarkan pula, proses akreditasi penuh perlu dijalankan iaitu ketika pelajar kumpulan pertama berada pada tahun akhir pengajian.

“Proses penilaian peringkat kedua ini penting bagi menyemak dan memastikan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) atau universiti mematuhi Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) atau standard pendidikan yang ditetapkan.

“Proses ini dijalankan berdasarkan bukti pengendalian sebenar program termasuklah aktiviti penilaian berkaitan pengajaran dan pembelajaran serta kegiatan lain yang berkait dengan tawaran program,” katanya.

Beliau berkata, proses ketiga pula adalah audit pematuhan akreditasi yang sekurang-kurangnya dilaksanakan sekali dalam tempoh lima tahun.

“Ia bergantung kepada keperluan bidang pengajian itu bagi tujuan mengekalkan akreditasi sesebuah program pengajian,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pastinya pemantauan

ibu bapa berkaitan pemilihan program pengajian amat penting bagi memastikan program yang dipilih mempunyai kelulusan akreditasi MQA dan terjamin kualitinya.

Katanya, tawaran pelbagai program di pelbagai institusi pengajian tinggi juga perlu diperhalusi ibu bapa atau anak-anak lepasan SPM, STPM, Matrikulasi dan juga peringkat sijil.

Ini bagi mengelak mereka terjebak dengan institusi yang inginkan keuntungan semata-mata tetapi mengabaikan masa depan generasi muda dengan menawarkan program yang tiada akreditasi.

“Umumnya mereka akan memberikan pelbagai janji manis serta kononnya peluang kerjaya yang cerah dan sebagainya.

“Jadi tidak hairan ada ibu bapa yang bergolak-gadai untuk memberi peluang anak-anak belajar di kolej atau universiti sehingga sanggup mengeluarkan puluhan ribu simpanan, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bergadai tanah untuk memastikan anak mereka dapat menyambung pengajian ke peringkat universiti,” katanya.

Nurul Hasyimah berkata, bakal pelajar boleh mengikuti program kerjaya dan mendapatkan perkhidmatan kaunseling kerjaya di sekolah yang akan dijalankan guru bimbingan dan kaunseling bagi mengetahui maklumat kerjaya selepas menamatkan sekolah menengah.

Katanya, maklumat seperti persediaan akademik, kesesuaian personaliti dan kesesuaian jurusan mengikut minat amat penting selain penekanan terhadap program pengajian yang mempunyai akreditasi.

“Peredaran teknologi dengan maklumat diperoleh hanya di hujung jari membolehkan ibu bapa mendapatkan rundingan bukan sahaja daripada guru bimbingan dan kaunseling sebaliknya carian enjin dan juga boleh secara terus ke UA atau kolej swasta itu sendiri bagi mendapat kepastian.

“Ini adalah bagi membantu anak mereka memilih program betul dan mempunyai peluang kerjaya yang cerah seterusnya mengelak pengangguran pada masa hadapan,” katanya lagi.

Tegas Nurul Hasyimah, dari sisi lain pula pelajar perlu membuat persiapan mental dan emosi bagi berdepan dengan cabaran sebenar dalam persaingan mendapat pekerjaan.

Tidak kira apa jurusan yang diikuti sepanjang bergelar mahasiswa, graduan perlu meningkatkan kecerdasan menghadapi rintangan dengan menukar cabaran pengangguran yang dihadapi kepada peluang mencipta kejayaan.

“Graduan juga perlu mempersiapkan diri meningkatkan keupayaan emosi dengan melatih diri menjadi individu yang positif, fleksibel mudah menyesuaikan diri dan mempunyai kemahiran penyelesaian masalah yang berkesan serta keyakinan diri tinggi,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker