Maghribi berpesta raikan kemenangan bersejarah

RABAT: Rakyat Maghribi menyambut kejayaan pasukan kebangsaan mereka dengan meriah di sekitar ibu kota ini dan di beberapa bandar utama di Eropah dengan mengibarkan bendera serta membunyikan hon kenderaan atas kejayaan bersejarah menewaskan Sepanyol di Piala Dunia.

Maghribi menewaskan Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti dan kemenangan itu menjadikan ‘Atlas Lions’ muncul negara Arab pertama dalam sejarah Piala Dunia yang mara ke pusingan lapan terbaik.

“Kami sangat berbangga dengan pasukan, mereka berjuang habis-habisan untuk mara ke suku akhir,” kata seorang penduduk di Rabat, Niama Meddoun.

“Kami gembira menjadi rakyat Maghribi hari ini apabila muncul negara Arab pertama yang mara ke suku akhir.”



Raja Maghribi, Mohammed VI turut memuji pasukan kebangsaan dan mengucapkan tahniah kepada pemain, pasukan teknikal dan juga pengurusan yang sudah memberikan segala-galanya serta memudahkan perjalanan pasukan di sepanjang kejohanan itu, menurut satu kenyataan dari istana.

Mohammed VI juga berkata, pemain mewakili ‘harapan dan impian rakyat di Maghribi, Qatar dan juga di seluruh dunia’.

Maghribi, satu-satunya negara Arab dan dari Afrika yang masih meneruskan perjalanan di kejohanan Piala Dunia pertama dianjurkan di Timur Tengah.

Kejayaan itu turut disambut di seluruh negara Arab, rakyat Maghribi dan beberapa komuniti yang berada di Eropah.



Di Barcelona, bandar kedua terbesar di Sepanyol, sekumpulan remaja berkumpul mengibarkan bendera Maghribi, Mesir, Algeria dan Palestin, lokasi di mana penyokong Barcelona secara tradisi berkumpul meraikan kemenangan.

Mereka bersorak kegembiraan dan ada di antaranya menyalakan suar.

Buruh, Youssef Lotfi, 39, yang dilahirkan di Casablanca dan berpindah ke Sepanyol sejak kecil, berkata dia menyukai dan berasa bangga dengan kedua-dua negara itu.

“Hari ini adalah hari kegembiraan buat rakyat Maghribi dan juga seluruh dunia Arab,” kata Lotfi.

“Ia satu penamat mendebarkan yang mungkin boleh memihak kepada yang lain.”

Dia juga menggambarkan kemenangan itu sebagai ‘sekali dalam hidup’.

“Maghribi mewakili seluruh dunia Arab, seluruh benua Afrika, ia adalah sesuatu yang sukar digambarkan. Ini adalah detik paling menggembirakan,” katanya.

AP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker