Sany Hamzan akan bawa bukti penyelewengan RM600b

KUALA LUMPUR: Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH, Sany Hamzan akan membawa bukti termasuk dokumen berkaitan dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sedang mengumpul pelbagai bukti pelanggaran serius prosedur itu dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini saya masih belum dipanggil oleh SPRM selepas membuat laporan polis pada 30 November lalu. Saya bersedia bekerjasama sepenuhnya dengan pelbagai pihak berkuasa apabila dipanggil.

“Saya juga akan hadir dengan bukti yang menunjukkan pelanggaran serius itu berlaku,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Taman Templer berkata setakat ini pihaknya hanya meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu dengan adil dan saksama.

“Sekiranya tiada kesalahan atau penyelewengan berlaku, kita terima sahaja tetapi setakat ini kita musykil dengan perbelanjaan yang terlalu mewah oleh Perikatan Nasional (PN).

“Disebabkan itulah kita membuat laporan polis dan menuntut siasatan dibuka,” katanya.

Sany berkata, pihaknya juga akan ke Istana Negara esok bagi menyerahkan memorandum meminta Yang di-Pertuan Agong menyokong penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perkara itu.

SPRM dalam laporan media semalam, dilaporkan sudah membuka siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana terbabit.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa ada pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Muhyiddin.

Terdahulu, Muhyiddin dilapor menegaskan tidak takut disiasat berhubung laporan polis dibuat beberapa pihak mendakwa beliau menyeleweng dana RM600 bilion.

Pengerusi PN itu menerusi hantaran di Facebook menjelaskan, tidak mungkin beliau menyeleweng dana itu memandangkan ia adalah wang individu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta bank yang bukan di bawah kawalannya.

Beliau yang juga Presiden BERSATU juga menyatakan tidak pasti bagaimana angka RM600 bilion itu dipetik, jika pun ia merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diumumkan ketika menerajui kerajaan yang semuanya berjumlah RM530 bilion.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, pula dilapor berkata dakwaan penyelewengan dana bernilai RM600 bilion sebenarnya tidak wujud dan sekadar perang saraf lapuk untuk memburukkan pentadbiran Muhyiddin.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker