Kanada buktikan mampu bersaing di Qatar

AL RAYYAN, Qatar: Kanada membuktikan mereka boleh bersaing dengan pasukan terbaik dunia, kata pengurus pasukan, John Herdman.

Ia selepas Kanada mengecewakan pasukan pilihan, Belgium yang bergelut untuk meraih kemenangan 1-0 dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia sebentar tadi.

Kanada sebelum ini mencipta kejutan apabila menjadi negara CONCACAF pertama layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2022, selepas kali terakhir pada 1986 yang menyaksikan mereka tersingkir di peringkat kumpulan tanpa kemenangan dan jaringan.

Menentang Belgium iaitu pasukan di ranking kedua dunia itu, Kanada tidak bernasib baik apabila menamatkan perlawanan tanpa sebarang mata.

“Malam ini mereka menunjukkan memang berhak berada di sini. Sudah lama kami tidak kembali,” kata Herdman pada sidang media selepas perlawanan.

“Menerusi persembahan seperti ini, saya berkata kepada pemain ‘kita hanya perlu meneruskan tugas seterusnya’. Saya bangga dengan apa yang mereka lakukan, sangat bangga. Mereka membuktikan mereka boleh bermain di sini.”

Belgium, yang menduduki tempat ketiga pada edisi 2018 hanya melakukan sembilan percubaan ke arah gawang manakala Kanada merekodkan 21 percubaan.

Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois menyelamatkan sepakan penalti pada awal separuh masa pertama dan Michy Batshuayi meledak gol sebelum rehat untuk memberikan Belgium kemenangan.

Belgium kini mendahului Kumpulan F dengan tiga mata selepas finalis 2018, Croatia terikat tanpa jaringan dengan Maghribi dan berkongsi satu mata.

Herdman menjangkakan prestasi Kanada menentang skuad The Red Devils akan membolehkan pasukannya lebih dihormati lawan pada aksi seterusnya.

“Jika kami boleh bertindak lebih tajam dalam serangan, kami akan mendapat sesuatu daripada perlawanan ini. Peluang dalam kumpulan ini terbuka luas,” katanya.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker