Northport pecah rekod kendalian kargo

KUALA LUMPUR: Northport (Malaysia) Bhd (Northport) mencatatkan rekod baharu untuk segmen perniagaan kargo konvensionalnya setelah melepasi 10,000,000 ‘freight weight tonnes’ (FWT) kendalian kargo.

Ia pencapaian tertinggi dalam setahun sejak pembentukan Northport melalui penggabungan Klang Container Terminal (KCT) dan Klang Port Management (KPM) pada tahun 2000, kata ahli Kumpulan MMC itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Rekod baharu itu dicapai melalui pemunggahan kargo gegelung keluli dari kapal konvensional, MV Great Agility di Dermaga 21, Northport.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof, berkata 2022 adalah satu lagi tahun yang gemilang buat Northport dengan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan yang diterima di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata, prestasi pecah rekod berturut-turut ini adalah bukti keupayaan syarikat untuk terus meningkatkan produktiviti dan mengembangkan semua segmen perniagaan di tengah-tengah cabaran perniagaan yang telah mengganggu rantaian bekalan global dan menjejaskan pelabuhan di seluruh dunia.

“Pencapaian hari ini melonjakkan tanda aras untuk TeamNorthport terus berusaha bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya.

Pencapaian pecah rekod untuk kargo konvensional Northport disumbangkan oleh pertumbuhan ketara dalam segmen ‘Roll-on Roll-off’ (RoRo) dan pertumbuhan berterusan hab logistik biomass di Southpoint.

Sehingga akhir November 2022, segmen RoRo mencatatkan pertumbuhan dua angka yang ketara sebanyak 76 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, didorong oleh insentif cukai kerajaan ke atas pembelian kenderaan.

Sementara itu, pengendalian kargo biomass terminal pelabuhan Northport yang berusia 121 tahun iaitu Southpoint, juga menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 61 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021.

Pada Mei 2022, Northport merekodkan pengendalian bulanan tertinggi berjumlah 1,078,538 FWT untuk segmen perniagaan kargo konvensionalnya, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 1,017,332 FWT yang dicatat pada Mei 2021.

Kejayaan ini dicapai di atas satu lagi pencapaian menerusi rekod pengendalian 47,246 FWT kargo gegelung keluli daripada kapal kargo konvensional, MV Wu Yi Hai pada 24 Mei 2022, iaitu kendalian tertinggi daripada sebuah kapal, mengatasi rekod sebelumnya iaitu 38,000 FWT yang dikendalikan pada 2019.

Northport mengakhiri 2021 dengan prestasi pecah rekod yang cemerlang setelah berjaya mengendalikan kontena sebanyak 3,324,364 TEU (Unit Bersamaan Dua Puluh Kaki), iaitu kendalian kontena tahunan tertinggi di dalam sejarah.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker