42 Adun Pahang selesai angkat sumpah

Kuantan: Semua 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang mengangkat sumpah jawatan pada Persidangan Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Seri Pahang di Kuantan, hari ini.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin yang baru dilantik menggantikan Datuk Seri Ishak Muhammad yang menyandang jawatan itu dua penggal berturut-turut.

Majlis angkat sumpah itu dimulai dengan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Adun Jelai diikuti 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta Adun lain.

Terdahulu, pencalonan Mohd Sharkar dikemukakan oleh Wan Rosdy dan disokong oleh Adun Benta yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi & Pendidikan negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak.

Wan Rosdy seterusnya mencadangkan Adun Bilut, Lee Chin Chen dilantik sebagai Timbalan Speaker yang juga disokong oleh Mohd Soffi.

Dalam ucapan penangguhan persidangan itu, Wan Rosdy mengingatkan wakil rakyat sama ada dari blok kerajaan mahupun pembangkang agar sentiasa berhemah ketika mengemukakan hujah, saling hormat-menghormati, serta tidak bertindak keterlaluan sehingga mengguris perasaan mana-mana pihak.

“Maka bermulalah tugas dan amanah secara rasminya Ahli-Ahli Yang Berhormat sebagai wakil rakyat yang mewakili kawasan Dewan Negeri masing-masing.

“Sudah pastinya tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat cukup penting dan menuntut pengorbanan yang besar terutama dalam memastikan kebajikan setiap rakyat sentiasa terjaga,” katanya.

Wan Rosdy berkata, sudah tiba masa untuk berkhidmat kepada rakyat serta menunaikan janji serta komitmen yang dizahirkan ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.

“Negeri ini perlu dibangunkan atas asas kestabilan politik yang kukuh agar pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan tersusun dan sektor ekonomi negeri dapat dipacu ke arah yang lebih baik.

“Kami akan berusaha melaksanakan apa yang telah dirancang sebelum ini terutamanya menerusi Belanjawan 2023 yang telah pun diluluskan pada penggal yang lalu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta ahli blok pembangkang supaya menjalankan fungsi semak dan imbang dengan sebaiknya demi memastikan negeri ini terus kekal maju dan berdaya saing.

Pada PRU-15, Barisan Nasional (BN) memperoleh 17 kerusi daripada 42 kerusi DUN dipertandingkan iaitu jumlah yang sama dengan Perikatan Nasional (PN) dan lapan kerusi PH.

BN dan PH kini bergabung membentuk kerajaan perpaduan yang mana lapan Adun BN dan dua Adun PH dilantik sebagai Exco Pahang.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker