Gergasi EV China BYD masuk Malaysia menerusi Sime Darby

KUALA LUMPUR: Sime Darby Motors, bahagian automotif Sime Darby Bhd secara rasmi membawa masuk kenderaan elektrik (EV) sulung BYD ATTO 3 ke pasaran kereta penumpang negara.

Bagi memacu pasaran EV tempatan, Sime Darby Motors bersama rakan pengedarnya memperuntukkan pelaburan berjumlah RM500 juta dalam tempoh dua tahun untuk mewujudkan rangkaian meluas bilik pameran BYD serta infrastruktur pengecas bagi memenuhi permintaan di negara ini.

Kerjasama Sime Darby Motors Dan BYD, syarikat teknologi tinggi terkemuka China adalah sebahagian daripada komitmen syarikat automotif itu untuk mempercepatkan peralihan kepada EV dan menerajui kaedah pengangkutan rendah karbon di Malaysia.

Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Andrew Basham, berkata kerjasama syarikat itu bersama BYD membuka lembaran baharu sektor automotif, sejajar dengan matlamatnya menjadi pemimpin pasaran EV di Malaysia.

“Dengan pelaburan setengah bilion ringgit yang akan dilaburkan bagi mengembangkan jenama ini di Malaysia, ia mencerminkan kepercayaan kami terhadap tarikan universal jenama ini.

“Barisan kenderaan bertaraf dunia BYD yang menampilkan spesifikasi premium pada harga menarik dan ini akan membawa perubahan dalam merangsang penggunaan EV di Malaysia,” katanya kepada media selepas pelancaran model BYD Energy Awaken ATTO 3 di sini, hari ini.Pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik penuh itu disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali; Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim; Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad; dan Pengarah Urusan Peruncitan & Pengedaran Sime Darby Motors, Jeffrey Gan.

Sementara itu, Xueliang berkata, sebagai sebahagian daripada wawasan BYD untuk membina masa depan lestari yang berpacukan tenaga elektrik, syarikat itu mahu mengukuhkan kerjasamanya dengan Sime Darby Motors untuk meneroka pasaran Malaysia.

“Dengan rekod pencapaian dan keupayaan terbukti Sime Darby Motors sebagai peserta serantau dalam industri automotif, terutamanya dengan rangkaian pengedarannya yang luas di Malaysia, dan digabungkan dengan teknologi perintis serta kepakaran BYD, kami bertekad untuk membekalkan kenderaan inovatif kepada pengguna Malaysia dan menyokong cita-cita negara ini mengurangkan penghasilan karbon,” katanya.

BYD ATTO 3 dengan pacuan kuasa elektrik sepenuhnya ialah SUV pertama yang dibina berasaskan e-platform 3.0 lanjutan BYD.

Model itu direka khas sebagai EV berprestasi tinggi, dengan tahap kepintaran, kecekapan dan keselamatan serta estetika yang tiada tandingan.

Dengan julat bateri yang cemerlang, BYD ATTO 3 boleh bergerak sehingga 480 kilometer (km) dengan sekali cas, membolehkan pemandu pergi lebih jauh dan menjimatkan masa pengecasan.Menampilkan reka bentuk moden dan anggun serta ciri pantas, bertenaga dan dinamik, BYD ATTO 3 mempertingkatkan taraf segmen SUV.

BYD ATTO 3 boleh didapati dalam dua pilihan iaitu berharga RM149,800 untuk Pilihan Standard (Standard Range) dan RM167,800 untuk Pilihan Lanjutan (Extended Range).

Sementara itu, Sime Darby Motors dijangka membuka bilik pameran pertama dijangka pada pertengahan bulan ini di TREC KL, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Menurut Sime Darby Motors, tiga lagi bilik pameran akan dibuka di Ara Damansara, Pulau Pinang dan Johor menjelang separuh pertama 2023.

Menjelang akhir 2023, dengan sokongan rakan kongsi pengedar, Sime Darby Motors dan BYD menjangkakan bilik pameran di negara ini akan meningkat kepada 20.Jumlah ini akan meningkat dua kali ganda pada 2024.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker