Mahkamah Rayuan putuskan undang-undang kunci tayar MPKB tak sah

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa undang-undang kunci tayar dikuat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) adalah tidak sah kerana bertentangan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333).

Panel tiga hakim membabitkan Datuk Hashim Hamzah, Datuk Abdul Karim Jalil dan Datuk Supang Lian, membuat keputusan itu secara sebulat suara.

Hashim berkata, ia susulan Perintah 17 Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) (MPKB) 2000 adalah ‘ultra vires’ atau melampaui Seksyen 72(7) APJ 1987.

Bagaimanapun, Perintah 8 di bawah perintah sama masih sah dan MPKB masih boleh mengenakan kompaun bagi kesalahan berkaitan parkir kereta.

Dengan keputusan itu, MPKB tidak lagi boleh mengunci tayar kereta yang diletakkan di petak parkir, sebaliknya hanya boleh mengenakan kompaun.

Perayu dalam kes itu ialah Nursyafawati Kasim yang diwakili peguam; Hisham Fauzi, Ang Khai Wei, Majdah Muhammad dan Haziratul Aqilah Huzailing, manakala peguam Marwalis Adam dan Shaharuddin Mohamed mewakili MPKB.

Sebelum ini, orang awam menggesa MPKB memberi kelonggaran terhadap peraturan meletak kenderaan di bandar itu, selain mengkaji semula kadar kompaun dan denda kunci tayar yang dikenakan.

Penduduk berpendapat peraturan ‘wajib bayar’ RM110 sebelum kunci dibuka perlu diberi kelonggaran atau diskaun dengan mengambil kira kebajikan rakyat yang kini berdepan musim pandemik COVID-19 berpanjangan.

Sebuah syarikat swasta yang mengendalikan tempat letak kenderaan pula didakwa rancak menjalankan ‘perniagaan’ kunci tayar apabila sengaja mencari pesalah di bahu jalan terutama di laluan masuk hospital dan lokasi tumpuan awam.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker