Minggu ini kami teliti unjuran – Rafizi
PUTRAJAYA: Keutamaan Kementerian Ekonomi minggu ini ialah meneliti keadaan semasa rantau ini dan peringkat global serta melihat semula unjuran yang sudah dikeluarkan agensi awam atau swasta.
Menterinya, Rafizi Ramli, berkata penelitian itu penting untuk menyusun perancangan kementerian berkenaan bagi tempoh sehingga Jun depan.
Katanya, beliau akan berbincang dengan semua pegawainya untuk mendapatkan pandangan mengenai program yang memberi kesan meluas dan pantas kepada pertumbuhan ekonomi.
“Apa keutamaan minggu pertama. Kenali dengan dekat semua pegawai tertinggi Kementerian Ekonomi. Mereka pasukan saya dan nadi memperbaiki ekonomi.
“Kami akan mendalami kedudukan ekonomi sekarang dan unjuran-unjuran.
“Ini akan membolehkan kementerian menyusun perancangan untuk enam bulan, iaitu menyusun program-program impak besar dengan cepat,” katanya di Twitter hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas komen dan pandangan pengguna Twitter mengenai politik, ekonomi.
“Saya mendengar dan mengambil kira semua. Ada yang boleh dilaksana segera. Ada yang akan disusun segera,” katanya.
Rafizi mengangkat sumpah sebagai Menteri Ekonomi pada 3 Disember lalu.
BHOnline