Perhilitan cuba tangkap gajah serang wanita Orang Asli

FOTO HIASAN.

Kuantan: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang melakukan pemantauan di Kampung Simoi Baru di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Betau, Lipis, susulan kejadian wanita Orang Asli maut dipijak gajah, Selasa lalu.

Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pemantauan sudah dibuat mulai semalam dengan menambah aset seperti kenderaan dan senjata api milik Perhilitan.

“Seramai 20 kakitangan Perhilitan turut ditempatkan di Kampung Simoi Baru bagi memantau, selain turut melakukan rondaan sekiranya diperlukan.

“Pada masa sama, kami juga akan berusaha menangkap gajah terbabit,” katanya, di sini hari ini.



Buat masa ini, Rozidan berkata, pihaknya akan menghalau kumpulan haiwan terbabit ke kawasan Hutan Simpan Jelai sekiranya gajah berkenaan menghampiri penempatan Orang Asli di situ.

Beliau berkata, pemantauan ini diselaraskan oleh Pegawai Daerah Lipis dengan kerjasama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela, Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pejabat Penghulu Mukim Ulu Jelai.

Rozidan berkata, operasi bersepadu itu bagi menjamin keselamatan penduduk kampung selain turut dapat menyalurkan maklumat tepat bagi melancar operasi yang sedang diadakan.

Dalam kejadian 4.40 pagi Selasa lalu, Wak Angkat Yok Tong, 39, ditemukan meninggal dunia di kawasan pokok pisang berhampiran rumahnya.



Ketika kejadian mereka sekeluarga sedang tidur sebelum tersedar apabila gajah menarik dinding dan rumah bergoyang.

Kesemua penghuni segera melarikan diri dalam keadaan gelap, tetapi selepas berkumpul semula mangsa disedari tiada, sebelum ditemui berhampiran pisang.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker