8 individu berprofil tinggi sertai misi keliling bulan

Washington: Bilionair Jepun, Yusaku Maezawa mengumumkan keputusannya membawa lapan selebriti dan pempengaruh dunia dalam misi mengelilingi bulan tahun depan.

Rancangan misi dikenali sebagai dearMoon itu pertama kali diumumkan pada 2018 dan roket yang membawa mereka, SpaceX masih dalam pembinaan.

Maezawa pada mulanya berkata, beliau akan membawa enam hingga lapan kru artis, namun kemudian menukar syarat penyertaan kepada pertandingan yang boleh dimohon menerusi dalam talian.

Lapan individu yang dipilih ialah deejay dan penerbit, Steve Aoki dari Amerika Syarikat (AS); Tim Dodd, YouTuber Amerika; Artis Czech, Yemi AD; jurugambar Ireland, Rhiannon Adam; jurugambar British, Karim Iliya; pembikin filem Amerika Syarikat, Brendan Hall dan pelakon India, Dev Joshi serta penyanyi K-pop, TOP.



Selain itu, pengembaraan itu turut disertai dua anak kapal sokongan iaitu pemain papan luncur salji, Kaitlyn Farrington dari AS dan penari Miyu dari Jepun.

Maezawa ketika mengumumkan perkara itu di YouTube berkata, beliau berharap setiap peserta melakukan persiapan dalam pelbagai aspek untuk menjayakan misi pengembaraan itu.

“Mereka akan mendapat banyak pengalaman melalui pengembaraan ini.

“Saya harap mereka akan menggunakannya untuk menyumbang kepada planet ini dan manusia,” katanya.



Menurut grafik profil misi di laman web dearMoon, perjalanan pergi balik dijangka hampir enam hari dan mereka bakal mengelilingi bulan tanpa mendarat.

Apabila siap, SpaceX’s Starship akan menjadi roket paling berkuasa pernah dibangunkan.

Walaupun peringkat atasnya berjaya dalam penerbangan ujian dalam atmosfera dan berjaya mendarat, SpaceX masih belum melakukan penerbangan ujian orbit.

Ia sesuatu yang berulang kali dijanjikan pengasasnya, Elon Musk yang berkata ia berlaku menjelang penghujung tahun ini.

Maezawa adalah pengasas pusat beli-belah fesyen dalam talian terbesar di Jepun pernah menyertai misi ke Stesen Angkasa Antarabangsa dengan menaiki roket Rusia, Soyuz, tahun lalu dengan membayar 10 bilion yen (kira-kira AS$73 juta).

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker