Banjir kembali lagi

Rantau Panjang: Cuaca tidak menentu dengan hujan lebat sejak dua hari lalu meresahkan penduduk penempatan rendah, malah ada beberapa kampung yang sudah digenangi air sejak awal pagi, hari ini.

Antara kawasan yang terbabit adalah Kampung Bendang Perol, Kampung Putat Tujuh, Kampung Luar dan Kampung Tersang, di sini, yang mula digenangi air antara 0.2 hingga 0.4 meter di jalan masuk serta halaman rumah.

Penduduk, Aidawati Baharin, 31, berkata kediamannya belum dinaiki air tetapi jalan masuk ke penempatannya di Kampung Putat Tujuh, di sini, sudah digenangi banjir susulan hujan lebat malam tadi sehingga pagi ini.



“Kami memang menjangkakan banjir kembali lagi, selain sudah dapat mengagak kerana musim monsun timur laut (MTL) belum berakhir. Malah, kali ini penduduk di sini dalam keadaan bersiap sedia sepenuhnya.

“Selain itu, kami tidak kalut untuk berkemas kerana barangan yang disimpan akibat banjir awal November lalu masih tidak terusik.

“Jika keadaan air terus menunjukkan peningkatan kami akan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman hampir setiap tahun berhadapan bah, penempatan itu akan digenangi air pada paras tinggi jika hujan turun tanpa henti dalam masa dua atau tiga hari.



Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan jangkaan hujan lebat berterusan sehingga berlaku di negeri Kelantan membabitkan jajahan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Sementara, publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan dua sungai di Kelantan iaitu Sungai Golok dan Sungai Semerak, Bachok menunjukkan paras melebihi tahap berjaga-jaga, dengan bacaan 7.68 meter dan 7.94 meter, setakat jam 9.30 pagi, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Norizan Che Soh, 54, berkata, dia terkejut apabila melihat air naik mendadak ketika bangun untuk solat Subuh.

“Air naik sangat cepat, dalam masa hanya beberapa jam air semakin tinggi dan menenggelamkan beberapa anak tangga rumah. Jika keadaan berterusan kami sekeluarga akan berpindah.



“Semoga bah kali ini biasa-biasa sahaja, tidak menenggelamkan kediaman kami keseluruhan sebagaimana banjir Februari lalu,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button