Bayi derita penyakit hidrosefalus, spina bifida

Machang: Usianya baru sebulan empat hari, namun bayi lelaki dari Kampung Bagan Atas di sini, terpaksa menempuhi hidup berliku dan menanggung derita selepas disahkan menghidap spina bifida atau tulang belakang bengkok dan hidrosefalus iaitu lebihan cecair dalam kepala sejak dilahirkan.

Menurut ibunya, Nurul Zulaili Mohd Zumairi, 24, penyakit hidrosefalus yang dihidapinya anak sulungnya, Nur Muhammad Aniq Firdaus Mohamad Azmi kian membesar dan kini sudah mencapai 41 sentimeter (cm) berbanding 35 cm ketika baru dilahirkan.

Katanya, anaknya itu dilahirkan secara pembedahan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai,

selepas usia kandungannya terlewat sehari daripada tarikh dia sepatutnya bersalin.

“Sebaik anak saya dilahirkan doktor mengesan Nur Muhammad Aniq Firdaus menghidap penyakit hidrosefalus apabila melihat bonjolan pada bahagian kepala dan dalam masa sama sebahagian tulang belakangnya juga terbelah serta terbonjol keluar.

“Disebabkan keadaan itu, anak saya terpaksa dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian selepas beberapa jam selepas dilahirkan, dan pada hari ketiga doktor menjalankan pembedahan memasukkan satu tiub khas di bahagian kepala hingga ke perut bagi mengalirkan cecair lebihan dari kepala.

“Selain itu, doktor juga perlu menjahit lubang di bahagian belakang bagi memasukkan semula tulang belakangnya yang terbonjol keluar dan hampir sebulan Nur Muhammad Aniq Firdaus berada di hospital termasuklah 21 hari ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (Nicu) Hospital USM sebelum dibenarkan pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bagan Atas, di sini, semalam.

Terdahulu keluarga berkenaan menerima kunjungan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) Akidi Hamid yang menyampaikan sumbangan keperluan lampin pakai buang bagi meringankan beban yang ditanggung.

Nurul Zulaili berkata, dia sama sekali tidak menduga anak sulungnya itu menderita pelbagai penyakit disebabkan sebelum ini kandungannya itu tidak bermasalah.

 

 

 

“Bagaimanapun, sehari sebelum menjalani pembedahan bagi melahirkan Nur Muhammad Aniq Firdaus, doktor memaklumkan anak yang bakal lahir ini mempunyai masalah selepas saya menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

“Apabila mengetahui perkara ini, saya dan suami, Mohamad Azmi Mohamad Azlan, 23, yang bekerja sebagai mekanik hanya mampu terdiam dan berdoa kepada Allah SWT supaya urusan melahirkan bayi kami ke dunia dipermudahkan.

“Saya melalui proses kehamilan dengan perasaan yang tidak boleh digambarkan kerana pada ketika perasaan bercampur baur apabila berasa sedih dan hiba, namun saya perlu menguatkan semangat selain bersedia fizikal dan mental untuk menyambut kelahiran Nur Muhammad Aniq Firdaus.

“Sebagai seorang ibu saya reda dengan takdir Allah SWT dan akan menjaga anak syurga ini dengan penuh kasih sayang hingga ke akhir hayat, malah dia juga adalah anugerah terindah buat kami sekeluarga,” katanya.

Katanya, setakat ini tiub khas yang dipasang di bahagian kepala anaknya itu hanya bersifat sementara bergantung kepada keadaan Nur Muhammad Aniq Firdaus.

“Bagaimanapun kini, Nur Muhammad Aniq Firdaus perlu menjalani sesi fisioterapi dan juga rawatan susulan di Hospital USM bagi perkembangan tahap kesihatannya.

“Saya yakin ada hikmah di sebaliknya dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT semoga ada keajaiban untuk anak syurga saya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0302141000162435 atas nama Nurul Zulaili Mohd Zumairi atau menghubunginya di talian 017-9511742.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker