Budak bergantung 13 jenis ubat!

Kuala Lumpur: “Saya lebih rela mengusung anak kecil menunggang motosikal ketika bekerja berbanding melihat dia menjadi mangsa layanan buruk pengasuh,” ujar penghantaran makanan (p-hailing) Azimah Abdul Rahim, 37.

Kisah Azimah tular di media sosial apabila gambarnya membawa bersama anak kecil, Nur Ainul Zahirah Rashidi, enam tahun yang buta dan dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) menunggang motosikal ketika bekerja.

Dia memberitahu terpaksa membawa anaknya ketika bekerja kerana serik menghantar anaknya kepada pengasuh.



“Sebelum arwah ibu, Nuranin Kasman meninggal dunia, dia yang membantu saya menjaga Nur Ainul ketika saya keluar bekerja.

“Namun selepas ketiadaannya, saya pernah hantar Nur Ainul untuk dijaga oleh pengasuh,” ujar ibu tunggal berkenaan yang menetap di Pantai Dalam di sini.

Menurutnya, dia kecewa mendapati ada antara pengasuh melayan anaknya dengan buruk berikutan anaknya adalah OKU dan bergantung pada ubat.



“Pernah beberapa kali saya melihat tubuh anak saya lebam dipercayai kesan dera oleh pengasuh.

“Bimbang Nur Ainul tidak menerima layanan sewajarnya, saya mengambil keputusan untuk membawanya sekali ketika bekerja. Walaupun sukar dan penat namun cara ini dapat memastikan dia sentiasa selamat di sisi saya,” katanya.

Azimah berkata, anaknya itu bergantung kepada 13 jenis ubat selain perlu memakai lampin pakai buang walaupun usianya sudah mencecah enam tahun.

“Tidak seperti kanak-kanak lain, Nur Ainul tidak boleh dipaksa makan atau tidur. Perlu ada cara lembut untuk melayannya.



“Apa yang berlaku tidak ramai yang memahami kerenah anak OKU. Malah, ramai masyarakat memberi tanggapan buruk terhadap saya yang membawa anak ketika keluar bekerja tanpa mengetahui cabaran hidup dihadapi,” katanya.

Menurutnya, dia sedih apabila diserang dengan pelbagai tuduhan termasuk membahayakan nyawa dan tidak sayang pada anak.

Berkongsi kisah hidupnya, Azimah berkata, dia tidak bernasib baik apabila pernah diberhentikan kerja sebagai pembantu pusat dobi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika itu saya terpaksa mengharap bantuan orang ramai selain ambil upah melipat baju. Saya kemudian ambil keputusan jadi penghantar makanan sejak dua tahun lalu,” katanya.



Orang ramai yang ingin menyumbang serta membantunya boleh menghubungi 019-2409380.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button