Kapten Perancis boleh lakar sejarah berdepan England

 

DOHA: Menjadi kapten buat negaranya lebih daripada sedekad, Hugo Lloris akan mencipta sejarah dalam pasukan kebangsaan Perancis awal pagi Ahad ini apabila dia mengetuai penyandang juara Piala Dunia itu di suku akhir menentang England, dengan tugasan utama menyekat rakan sekelab, Harry Kane.

Lloris dan kapten England, Kane menjadi rakan sepasukan di Tottenham sejak 2013, namun ketika itu dia sudah mengukuhkan tempat selaku kapten Perancis selepas diberikan lilitan berkenaan oleh Laurent Blanc pada aksi persahabatan menentang England pada November 2010.

Ia hadir tidak lama selepas kempen buruk Perancis di Piala Dunia Afrika Selatan dan 12 tahun selepas itu Lloris akan mencipta rekod Perancis dengan 143 kaps berdepan England di Stadium Bayt Stadium, mengatasi rekod sebelum ini dipegang Lilian Thuram.

“Untuk mencapainya dalam karier dan terus berada di tahap tertinggi untuk 10 hingga 12 tahun dan jarang cedera menunjukkan betapa dia sangat konsisten,” kata penolong jurulatih Perancis, Guy Stephan minggu ini.

Lloris akan berusia 36 tahun bulan ini dan sudah banyak berubah sejak mula menjadi kapten pada peringkat antarabangsa ketika beraksi bersama Lyon.

Dia pernah berada di pihak yang kalah dalam final Liga Juara-Juara sebelum merangkul trofi Piala Dunia empat tahun lalu di Russia.

“Saya sudah berubah secara semulajadi. Saya rasa saya kini berbeza berbanding budak 23 tahun lalu, apabila saya diberikan lilitan kapten buat pertama kali,” katanya.

Kehadirannya adalah jelas bagi jurulatih Didier Deschamps, terutama selepas pertahanan di depannnya sudah banyak berubah sejak 2018 berikutan masalah kecederaan dengan hanya Raphael Varane pemain tunggal yang masih ada dalam kesebelasan utama di Russia yang dijangka akan bermula berdepan England.

Varane memuji Lloris sebagai pemain berpengaruh yang tenang walaupun statistik menunjukkan dia tidak lagi seperti dulu.

Analisis oleh Opta menunjukkan Lloris hanya menyelamatkan 40 peratus daripada cubaan dihadapinya pada Piala Dunia kali ini, jatuh daripada 67 peratus pada 2018.

Namun kepentingan pemain itu buat Perancis melebihi angka berkenaan.

Deschamps sangat perlukan pemain berpengalaman apatah lagi mereka kehilangan beberapa bintang termasuk pasangan pemain tengah, Paul Pogba dan N’Golo Kante kerana kecederaan sebelum kejohanan.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker