KL lokasi ke-167 termahal

Kuala Lumpur: Bandar raya Kuala Lumpur kini menjadi lokasi ke-167 termahal di dunia untuk ekspatriat selepas jatuh lima tempat dalam kedudukan kos sara hidup, berdasarkan kajian dijalankan oleh ECA International.

Pengarah Serantau ECA International Asia, Lee Quane berkata, kadar inflasi yang tinggi menyumbang kepada peningkatan dalam kedudukan bagi beberapa lokasi di Malaysia termasuk Johor Bahru.

Katanya, walaupun harga makanan meningkat dengan ketara, perubahan terbesar adalah pada harga petrol yang meningkat lebih 50 peratus.

“Namun, kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) mengimbangi kesan inflasi di Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bandar di seluruh Thailand dan Filipina juga mengalami penurunan dalam senarai kedudukan tahun ini.

Beliau berkata, Bangkok jatuh 12 anak tangga ke tangga 63, meneruskan perpindahannya daripada 50 teratas global, manakala Manila jatuh 10 anak tangga kepada tangga ke-67 dan Cebu City 14 tempat ke kedudukan 169 di peringkat global.

Laos khususnya menyaksikan kejatuhan terbesar dalam kedudukan lokasi Asia Tenggara, dengan Vientiane jatuh 29 tempat ke 193 di dunia akibat matawangnya lemah berbanding dolar AS sebanyak 38 peratus.

Sementara itu, kos penginapan yang melonjak merentasi sempadan meluaskan lagi jurang kos sara hidup antara Singapura dan negara jiran di Asia Tenggara.

Bandar di negara itu naik empat tempat daripada tahun lalu menjadikannya lokasi kelapan paling mahal di dunia khususnya untuk ekspatriat.

“Pemacu terbesar di sebalik kenaikan Singapura dalam kedudukan terbaru ini ialah disebabkan peningkatan dua angka dalam kos sewanya pada 2022.

“Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada pasaran penginapan dan permintaan yang meningkat semula dengan ketara apabila bandar itu membuka semula sempadannya sekali lagi,” katanya.

Selain itu, New York turut dinamakan sebagai lokasi paling mahal di dunia kerana kekuatan dolar AS dan inflasi tinggi.

“Dengan kadar inflasi melonjak melebihi 100 peratus di Turki, negara itu menjadi lebih mahal untuk ekspatriat dan pelancong walaupun nilai lira menjunam.

“Kedudukan Istanbul naik 27 anak tangga kepada 150,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker