Warga kerja AADK Kedah didakwa terima suapan

17/02/2021 03:28 PM

ALOR SETAR, 17 Feb — Seorang Penolong Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan seorang bekas pembantu AADK hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersabit suapan RM3,000 yang didakwa dilakukan pada Disember 2016.

Norzarenawati Osman, 38, yang kini bertugas sebagai Penolong Pegawai AADK Daerah Kulim dan Erwan Yahya, 45, bekas Pembantu AADK Daerah Kuala Muda membuat pengakuan itu selepas pertuduhan bersama terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Menurut pertuduhan itu, kedua-duanya didakwa dengan niat bersama untuk menerima bagi diri sendiri suapan berjumlah RM3,000 daripada Muhammad Russul Muhammad Radzi sebagai dorongan untuk melepaskan seorang lelaki yang positif dadah menerusi saringan awal urin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah kosong di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, pada 3 petang, 7 Dis 2016 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara hingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pada masa itu, Norzarenawati yang merupakan ibu tunggal lima anak, bertugas sebagai Penolong Pegawai AADK Kuala Muda.

Sementara itu di mahkamah sama, Erwan turut dituduh menerima suapan berjumlah RM3,000 untuk diri sendiri daripada Muhammad Russul sebagai dorongan melepaskan lelaki yang positif dadah jenis syabu berkenaan, di dalam kereta jenis Proton Iswara di hadapan deretan kedai di Bandar Puteri Jaya, pada 5.30 petang, 7 Dis 2016.

Hakim membenarkan Norzarenawati diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sementara Erwan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan. Kedua-duanya turut diarah menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 17 Mac depan untuk sebutan semula kes kedua-dua mereka.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohamad Fauzee Azizan, sementara Norzarenawati tidak diwakili peguam manakala Erwan diwakili peguam Alias Ibrahim.

Tiga pejawat awam didakwa kemuka tuntutan palsu, salah guna kuasa

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker