Dua kali Van Gaal kalah penalti kepada Argentina

DOHA: Jurulatih Belanda, Louis van Gaal menyifatkan kekalahan pasukannya di tangan Argentina menerusi penentuan sepakan penalti pada suku akhir Piala Dunia pagi tadi sebagai “amat menyakitkan.”

Belanda bangkit dengan dua gol lewat Wout Weghorst untuk memaksa masa tambahan selepas Argentina mendahului 2-0 menerusi jaringan Nahuel Molina dan Lionel Messi, yang menyempurnakan sepakan penalti.

Namun Virgil van Dijk dan Steven Berghuis kecewa apabila sepakan penalti mereka diselamatkan Emiliano Martinez sekali gus menyaksikan Argentina menang 4-3 menerusi penentuan penalti, menempah pertembungan separuh akhir dengan Croatia.

“Kami gagal menjaringkan dua penalti pertama jadi ketika itulah keadaan menjadi amat sukar dan payah. Ia soal tuah, loteri,” kata Van Gaal.



Pengendali berusia 71 tahun itu juga jurulatih Belanda ketika tumpas menerusi penentuan penalti di tangan Argentina pada separuh akhir Piala Dunia 2014.

“Ini kali kedua kami tewas kepada Argentina dengan cara ini. Dua Piala Dunia dengan jurulatih yang sama buat Belanda.

“Saya meminta pemain berlatih gigih dengan sepakan penalti, jadi saya tidak perlu mencela mereka. Untuk bangkit dan menyamakan kedudukan… kalah menerusi sepakan penalti amat malang sekali.”

Van Gaal kembali mengambil alih pasukan bagi tempoh ketiga pada Ogos 2021 selepas menjalani rawatan kanser prostat.



Oranje tidak tewas dalam 20 perlawanan di bawah kendalian Van Gaal, termasuk perlawanan pagi tadi namun beliau mengesahkan akan berundur seperti dirancang.

“Pemain saya terlalu sedih. Mereka sudah memberikan segala-galanya dan saya amat berbangga. Saya mengharungi satu tempoh yang menarik.

“Amat menyakitkan untuk melihat bagaimana kami tersingkir kerana saya melakukan segala yang termampu untuk menghalang perkara ini,” katanya.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker