‘Saya tak akan buat pusingan U’

DOHA: Tite mengesahkan ia “penamat satu kitaran” buatnya sebagai jurulatih Brazil selepas pasukan pilihan itu disingkirkan Croatia pada suku akhir Piala Dunia menerusi penentuan sepakan penalti, awal pagi tadi.

Pengurus berusia 61 tahun itu, yang mengendalikan pasukan sejak 2016, sebelum ini mendedahkan beliau akan melepaskan jawatan itu selepas kejohanan di Qatar, tidak kira apa pun keputusannya.

“Ia satu kekalahan memedihkan tetapi saya pergi dengan aman. Ia penamat satu kitaran,” katanya kepada wartawan selepas penyingkiran dramatik Brazil daripada kejohanan itu di Stadium Education City.

“Saya sudah katakan setahun setengah lalu. Saya tidak datang ke sini untuk menang dan kemudian membuat pusingan U dengan berkata saya akan kekal. Orang yang kenal saya tahu mengenainya.”



Selepas kebuntuan gol selama 90 minit, Brazil mendahului menerusi Neymar pada pertengahan masa tambahan sebelum Bruno Petkovic menyamakan kedudukan buat Croatia pada minit ke-117.

Ia bermakna penentuan penalti dan sepakan pertama Rodrygo buat Brazil diselamatkan pemain terbaik perlawanan dari Croatia, Dominik Livakovic.

Ketika Croatia menyempurnakan empat sepakan penalti, Marquinhos mesti menyumbat gol apabila dia tampil buat Brazil namun percubaannya terkena tiang gol.

Tite sudah menyaksikan kekalahan pada suku akhir di tangan Belgium pada Piala Dunia di Russia empat tahun lalu.



Selepas itu, Brazil memenangi Copa America di laman sendiri pada 2019 namun tewas final kejohanan itu kepada Argentina sekalipun beraksi sebagai tuan rumah tahun lalu.

Konfederasi Bolasepak Brazil sebelum ini menyatakan ia tidak akan memilih jurulatih berikutnya hingga Januari depan.

Ditanya mengenai penilaian kariernya sebagai jurulatih Brazil, Tite berkata: “Saya memerlukan masa untuk menjawabnya dengan lebih baik.

“Saya tidak berada dalam posisi untuk menilai semua kerja yang sudah dilakukan, tetapi selepas masa berlalu anda boleh melakukan penilaian itu.

“Saya tidak berhak untuk melakukannya sekarang selepas kami disingkirkan,” tambahnya.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker