Fast Bikes henti edar Triumph, beralih ke Honda Big Wing



KUALA LUMPUR: Pengedar rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd mengumumkan yang ia bukan lagi pengedar jenama motosikal dari United Kingdom bermula 14 Januari depan.

Susulan itu, Ketua Eksekutif Fast Bikes, Datuk Razak Al-Malique Hussain, dalam satu kenyataan berkata pihaknya juga telah memeterai perjanjian untuk menjadi pengedar Honda Big Wing.

Katanya, kedai utama Triumph Motorcycles dan ibu pejabatnya di Seksyen 13, Petaling Jaya akan berubah kepada imej baharu sebagai pengedar Honda Big Wing yang dijadualkan beroperasi pada suku pertama 2023.

“Semua cawangan Fast Bikes yang lain di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu juga akan berhenti beroperasi.



“Triumph Motorcycles UK dan wakilnya di Malaysia akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi semua terma dan syarat untuk motosikal yang masih dalam tempoh jaminan yang ditetapkan.

“Kepada semua pelanggan kami, terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi selama ini. Ia amat bermakna bagi kami dan mengharapkan sokongan berterusan daripada anda untuk terus maju ke hadapan,” katanya.

Fast Bikes mula beroperasi pada 2010 dan secara bersendirian menerajui kepulangan jenama Triumph Motorcycles di Malaysia.

Sepanjang tempoh 12 tahun, Fast Bikes telah menaikkan jenama itu menjadi kedua terbesar dari segi saiz pasaran dalam kategori motosikal premium 500cc dan ke atas di dalam negara.



Jualan Fast Bikes Sdn Bhd bagi Triumph Motorcycles di Malaysia juga meningkat dua kali ganda antara 2019 dan 2022 dengan tempahan yang memberangsangkan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker