Paras air sungai melebihi tahap bahaya di 3 negeri – JPS

KUALA LUMPUR: Tiga stesen kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Pahang, Johor dan Kelantan mencatat paras air melebihi tahap bahaya, setakat jam 10 pagi tadi.

Menurut data dikongsikan JPS melalui laman sesawang rasmi: publicinfobanjir.water.gov.my, ia membabitkan stesen Sungai Lipis di Batu Malim, Raub, Pahang; Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat, Johor; dan Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan.

Amaran dan ramalan banjir terkini serta maklumat mengenai kenaikan aras sungai dan kadar lebat hujan boleh diperoleh menerusi laman sesawang itu atau akaun twitter: Public Infobanjir.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dalam kenyataan berasingan pula mengeluarkan ramalan cuaca signifikan di seluruh negara selama tiga hari, bermula hari ini hingga Selasa depan.

METMalaysia memaklumkan, ribut petir dijangka berlaku petang ini di beberapa kawasan seluruh negara, kecuali Kelantan dan Terengganu yang hanya mengalami hujan.

Pada sebelah malam, hujan dijangka berlaku di seluruh Semenanjung, Sabah (Pantai Barat dan Kudat) serta Sarawak (kecuali Miri dan Limbang), manakala ribut petir diramalkan di Sabah membabitkan Pedalaman, Tawau, Sandakan serta Labuan.

Ribut petir juga dijangka berlaku pagi esok di Labuan dan Tawau, selain hujan diramalkan di seluruh negara kecuali Perlis, Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah (Sandakan) serta Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Miri dan Limbang).

Petang esok, ribut petir dijangka melanda seluruh negara kecuali Kelantan, Terengganu, manakala di Pahang diramalkan hanya hujan.

Pada malam esok pula, hujan dijangka melanda seluruh negara kecuali Perlis, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Sarawak (Sri Aman, Betong, Sarikei dan Sibu) serta Sabah (Tawau dan Kudat).

Pada Selasa depan, METMalaysia meramalkan hujan sebelah pagi di Labuan, Terengganu, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, manakala sebelah petang pula ribut petir dijangka melanda seluruh negara kecuali Kelantan, Terengganu, Pahang serta Sabah (Kudat).

Hujan turut diramalkan pada waktu malam di Semenanjung kecuali Perlis, Sarawak, beberapa kawasan di Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan dan Kudat) serta Labuan.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker