Southgate perlukan masa fikir masa depan

AL KHOR, Qatar: Gareth Southgate berkata beliau memerlukan masa untuk memikirkan mengenai masa depannya sebagai jurulatih England selepas kekecewaan perit tersingkir pada suku akhir Piala Dunia di tangan Perancis.

Juara bertahan Perancis menang 2-1 di Stadium Al Bayt, dengan kapten England, Harry Kane menyepak tinggi menerusi sepakan penalti apabila berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada lewat permainan, sesudah sebelumnya meledak menerusi sepakan penalti.

England layak ke separuh akhir Piala Dunia pada 2018 dan final Kejohanan Eropah tahun lalu namun penantian lama mereka bagi merebut kejuaraan utama kini berlanjutan lebih 56 tahun.



Southgate berkata beliau kini perlu memikirkan banyak perkara.

“Bila mana saya mengakhiri kejohanan ini saya perlukan masa untuk membuat keputusan tepat kerana secara emosinya anda mengalami terlalu banyak perasaan bercampur baur dan tenaga yang diperlukan untuk mengharungi kejohanan ini, jadi saya mahu membuat keputusan tepat, buat pasukan, buat England, buat FA,” katanya pagi tadi.

“Saya juga perlu memastikan apa saja keputusan yang saya ambil adalah tepat dan saya fikir wajar untuk mengambil masa sedikit kerana saya tahu pada masa lalu perasaan saya tidak menentu sebaik selepas kejohanan berakhir.”



Southgate, yang mana kontraknya berterusan hingga Disember 2024 untuk mengendalikan pasukan pada Kejohanan Eropah tahun itu, berkata beliau bangga dengan cara pasukannya beraksi di Qatar dan terlalu awal untuk merancang masa depan.

“Untuk memulakannya sekali lagi memerlukan banyak tenaga dan anda perlu pastikan bersedia menghadapinya. Ada pusingan kelayakan (Euro 2024) bermula Mac depan dan terlalu banyak perkara yang saya perlu fikirkan.

“Saya mahu fokus sepenuhnya terhadap kejohanan ini dan mendepaninya dengan cara kami dan saya fikir kami sudah membuktikan kehebatan kami kepada dunia, tetapi akhirnya hanya satu pasukan menang.”



Bos England itu berkata, “terlalu banyak perkara mengujakan” disebabkan profil pasukan muda itu, menyatakan persembahan mereka menentang Perancis adalah yang terbaik pernah mereka pamerkan menentang negara utama ketika beliau mengendalikan pasukan.

“Mereka sedar betapa mereka hampir melakukannya,” kata jurulatih itu. “Mereka tahu mereka sudah memberikan cabaran paling sengit kepada negara terbaik sepanjang perlawanan. Kami lebih menguasai pegangan bola, lebih banyak percubaan tepat ke arah gol.

“Saya amat bangga dengan persembahan mereka bukan setakat malam ini tetapi sepanjang kejohanan. Ada beberapa pemain muda yang mula menonjolkan diri mereka di pentas dunia,” tambahnya.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button