5 rumah musnah terbakar

Kuching: Seramai 33 penghuni lima rumah di Kampung Pulo Ulu, Petra Jaya, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Turut musnah dalam kejadian 1.30 pagi itu, sebuah kereta serta empat motosikal milik penghuni.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.46 pagi.

Beliau berkata, seramai 29 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, BBP Tabuan Jaya dan BBP Kuching diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran membabitkan lima rumah jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya.

“Dua daripada rumah itu adalah jenis setingkat, manakala tiga lagi rumah dua tingkat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada 2.18 pagi dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker