Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia merosot daripada aliran meningkat pada minggu lalu untuk dibuka rendah pada Isnin, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang negatif berikutan sentimen berhati-hati.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.27 mata kepada 1,472.92 daripada 1,477.19 pada Jumaat lalu.

Saham pandu pasaran dibuka rendah 1.58 mata kepada 1,475.61.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 182 berbanding 147 manakala 236 kaunter tidak berubah, 1,698 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.



Jumlah dagangan sebanyak 174.95 juta unit bernilai RM67.09 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street merosot pada Jumaat berikutan kebimbangan mengenai kenaikan kadar menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) yang akan datang pada minggu ini.

“Bagaimanapun, walaupun prestasi Wall Street lemah, kami menjangka belian saham akan berterusan dengan lebih stabil dalam situasi politik tempatan berikutan pelantikan Timbalan Menteri baru-baru ini.

“Kami menjangka indeks akan diniagakan dalam julat 1,470-1,485 hari ini berikutan sentimen diunjurkan menjadi berhati-hati menjelang mesyuarat FOMC,” katanya.



Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB menambah dua sen kepada RM5.67 manakala Maybank merosot dua sen kepada RM8.67, Public Bank berkurangan satu sen kepada RM4.40, Petronas Chemicals susut lima sen kepada RM8.48 dan TNB merosot empat sen kepada RM9.29.

Daripada saham aktif, Cengild Medical naik dua sen kepada 49.5 sen, Icon meningkat satu sen kepada 9.5 sen dan PT Resources berkurangan setengah sen kepada 49 sen manakala MAG dan Yew Lee, masing-masing kekal tidak berubah pada 18.5 sen dan 32 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 24.82 mata kepada 10,582.59, Indeks FBMT 100 berkurangan 26.30 mata kepada 10,282.55, Indeks FBM Emas Shariah susut 43.16 mata kepada 10,745.01, FBM 70 merosot 18.90 mata kepada 12,927.32 dan FBM ACE berkurangan 2.73 mata kepada 5,514.77.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 14.05 mata kepada 16,509.09, Indeks Perladangan berkurangan 3.75 mata kepada 6,724.13, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.43 mata kepada 181.16 dan Indeks Tenaga susut 0.26 mata kepada 777.64.

Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker