Ronaldo belum mahu gantung but

LISBON: Cristiano Ronaldo berkata “tiada gunanya memberi reaksi dalam suasana tegang ketika ini,” apabila dia mengulas mengenai penyingkiran Portugal pada Piala Dunia.

Ronaldo kekal di Qatar ketika ramai daripada pemain skuad Portugal sudah pulang dan tiba di Lisbon awal pagi tadi.

“Untuk memenangi Piala Dunia bersama Portugal adalah cita-cita utama dan impian terbesar dalam karier saya. Mujurlah saya memenangi banyak gelaran antarabangsa termasuk bersama Portugal,” tulis Ronaldo dalam Instagram.

Hantarannya tidak menyebut mengenai persaraan antarabangsa tetapi dia memulakan dua perlawanan terakhir Portugal di Qatar di bangku simpanan, keputusan yang mencetus perdebatan di Portugal dan seluruh dunia.



“Mari kita berharap masa akan menjadi kaunselor yang baik dan membolehkan setiap orang membuat kesimpulan sendiri,” tulisnya.

Hantaran Instagram itu disertakan dengan gambar Ronaldo yang sedang menundukkan kepala, keluar dari padang di Doha selepas kekalahan 1-0 pada suku akhir di tangan Maghribi, Sabtu lalu.

Pada usia 37 tahun, Ronaldo beraksi Piala Dunia kali kelima. Sejurus wisel penamat ditiup dia menuju ke terowong dengan air mata berguguran.

Ronaldo kini tidak mempunyai kelab selepas ‘bercerai’ dengan Manchester United.



Menurut akhbar Portugal, Ronaldo mengancam untuk meninggalkan skuad selepas dia digugurkan daripada kesebelasan utama, namun ia dinafikan jurulatih Fernando Santos, yang akan bertemu Persatuan Bolasepak Portugal tidak lama lagi bagi membincangkan masa depannya.

“Saya hanya mahu setiap orang tahu banyak sudah diperkatakan, banyak sudah ditulis, banyak spekulasi tersebar, tetapi dedikasi saya kepada Portugal tidak berubah dalam sekelip mata,” tegas Ronaldo.

“Saya sentiasa menjadi seorang lagi pemain yang berjuang bagi gol untuk setiap orang dan saya tidak akan membelakangkan rakan sepasukan dan negara saya.”

“Dalam lima Piala Dunia saya beraksi, sentiasa bersama pemain hebat dan disokong oleh berjuta-juta rakyat Portugal, saya memberikan segala-galanya. Saya meluahkan segala-galanya di tengah padang. Saya tidak pernah membelakangi perjuangan dan saya tidak pernah berputus asa dengan impian ini.

“Malangnya, semalam mimpi itu berakhir. Mimpi itu indah ketika ia masih belum berakhir.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker