Bursa Malaysia dibuka tinggi sejajar kenaikan Wall Street

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula dan dibuka tinggi sedikit pada urus niaga Selasa, mengambil petunjuk daripada peningkatan prestasi Wall Street semalaman walaupun mod agak berhati-hati menjelang keputusan dasar monetari di seluruh dunia minggu ini.

Pada 9.10 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 0.59 mata kepada 1,474.97 daripada penutupan semalam pada 1,474.38.

Pasaran memulakan dagangan pagi ini 2.15 mata lebih tinggi untuk mencapai paras 1,476.53.



Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 234 berbanding 95, manakala 231 kaunter tidak berubah, 1,702 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 212.65 juta unit bernilai RM143.79 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, Wall Street mempamerkan lantunan semula apabila tumpuan kini beralih kepada data inflasi baharu dan langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat terhadap kadar faedah.

Namun begitu, katanya bursa tempatan dijangka meneruskan sesi hambarnya kerana sentimen kekal berhati-hati sejajar dengan prestasi yang lebih lemah di peringkat serantau.



“Kami menjangkakan perkara yang sama untuk hari ini walaupun Wall Street meningkat semalaman. Oleh itu, indeks diunjur mengekalkan arah alirannya dalam julat 1,470-1,485,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM8.68, Public Bank dan Petronas Chemicals turun satu sen setiap satu kepada RM4.39 dan RM8.47, manakala CIMB dan TNB masing-masing menokok dua sen kepada RM5.76 dan RM9.22.

Bagi saham aktif, ITMAX yang baharu tersenarai di Pasaran Utama melonjak 37 sen kepada RM1.44, Velesto naik setengah sen kepada 16 sen, Yew Lee meningkat satu sen menjadi 37 sen, Advance Synergy tidak berubah pada 18 sen dan Leform menambah 1.5 sen kepada 22 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 15.16 mata kepada 10,601.68, Indeks FBMT 100 mengembang 13.83 mata menjadi 10,302.41, Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 21.74 mata kepada 10.754.89, FBM 70 meraih 56.43 mata kepada 12,974.70 dan FBM ACE peroleh 27.23 mata menjadi 5,520.87.



Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 8.23 mata kepada 16,548.06, Indeks Perladangan menambah 6.09 mata kepada 6,758.58, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.23 mata kepada 181.66 dan Indeks Tenaga peroleh 6.77 mata kepada 785.23 .

– Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button