Buang duit RM883,800 di lebuh raya, ganjaran kepada orang lain

Washington: Seorang lelaki membuang AS$200,000 (kira-kira RM883,800) dari tingkap keretanya di lebuh raya yang sibuk di Amerika Syarikat (AS) sebagai ganjaran untuk orang lain.

Mirror UK melaporkan, tindakan lelaki itu menyebabkan pengguna jalan raya yang memandu di Interstate 5 di Oregon memberhentikan kenderaan mereka dan keluar untuk mengambil wang yang setiap satunya dengan nota wang kertas AS$100 (kira-kira RM442).

Polis Oregon berkata, Colin Davis McCarthy, 38, membuang wang itu keluar dari tingkap keretanya di bandar Eugene kira-kira jam 7.20 malam pada 11 April.

Polis dalam satu kenyataan kepada KVAL-TV berkata, McCarthy yang tidak pernah didakwa atas sebarang jenayah, memberitahu dia berbuat demikian kerana mahu memberkati orang lain dengan hadiah wang.

Wang tunai itu dipercayai datang daripada akaun bank keluarga dan boleh diakses McCarthy.

Polis kemudian memberi amaran kepada McCarthy bahawa dia boleh didakwa kerana membuang sampah atau mencetuskan bahaya di lebuh raya.

Berikutan itu, McCarthy bersetuju untuk berhenti mengulangi perbuatannya membuang wang sewenang-wenangnya di masa akan datang.

Kapten Kyle Kennedy dari Polis Negeri Oregon berkata, pemandu lain berhenti di lebuh raya dan dengan pantas mengumpul wang kertas itu yang dibuang McCarthy itu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak pergi mencari wang di lebuh raya kerana tindakan itu membahayakan,” kata Kennedy memberitahu OregonLive.

Kennedy berkata, pegawai membuat pemeriksaan di lebuh raya untuk mencari baki wang yang dibuang itu tetapi tidak menemui apa-apa.

Dua tahun lalu, penduduk di Frome, Somerset menerima wang dan nota melalui kotak surat mereka daripada orang yang tidak dikenali sebagai tindakan kebaikan sewenang-wenangnya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker