Penduduk gempar buaya tembaga atas jalan

Kuantan: Penduduk Kampung Air Hitam di sini gempar selepas kemunculan buaya tembaga di atas jalan Kampung Air Hitam di sini, malam tadi.

Penduduk percaya limpahan air parit di kiri kanan jalan akibat hujan berterusan mendorong kemunculan buaya di kawasan itu.

Menurut Abu Sufian Husin, 54, sebelum ini kampung berkenaan tidak pernah menerima kehadiran reptilia itu.



“Saya melalui jalan Kampung Air Hitam malam tadi untuk ke surau menunaikan solat, tapi tidak bertembung dengan buaya itu.

“Selepas Isyak, saya melihat video tular kemunculan buaya tembaga dan mengikut jalan lain untuk pulang kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya hari ini.

Dia yang membesar di kampung itu berkata, sebelum ini penduduk hanya melihat kemunculan buaya di Sungai Air Hitam dan Sungai Belat.

Mohd Ridzuan Mat Din, 43, yang lebih 10 tahun menghuni kampung itu turut berkata, pertama kali melihat buaya di atas jalan.



“Saya berharap pihak berwajib dapat menyiasat kemunculan reptilia berkenaan, sekiranya buaya berkenaan masa ada di situ, tangkap dan pindahkan,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pasukannya akan dihantar untuk mengambil tindakan lanjut.

Beliau menasihati penduduk kampung uang tinggal berhampiran sungai dan parit agar lebih berhati-hati ketika musim tengkujuh ini.

“Sungai Kuantan dan Sungai Belat merupakan habitat buaya, buaya yang ditemui di atas Jalan Kampung Air Hitam mungkin keluar dari Sungai Belat,” katanya.



 

 

 

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button