Argentina ke final
LUSAIL, Qatar: Dua gol oleh penyerang, Julian Alvarez dan satu daripada penalti Lionel Messi memberikan Argentina kemenangan 3-0 mengatasi naib juara 2018, Croatia pada separuh akhir Piala Dunia sebentar tadi dan akan menentang sama ada Perancis atau Maghribi pada final Ahad nanti.
Messi meletakkan Argentina di depan menerusi penalti minit ke-34 selepas penjaga gol, Dominik Livakovic menjatuhkan Alvarez ketika dia mengejar bola.
Lima minit kemudian, penyerang Manchester City itu kemudiannya membawa bola sejauh 50 meter dan terus mengawalnya ketika pertahanan cuba menjatuhkannya seterusnya meledak gol kedua.
Croatia, yang bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Jepun dan Brazil menerusi penalti dalam dua aksi sebelum ini, cuba bangkit pada babak kedua namun hantaran kemas mereka gagal membuka sebarang peluang berdepan pertahanan kebal Argentina.
Messi kemudian menampilkan persembahan hebatnya apabila mengawal bola dan melorongkan buat Alvarez yang meledak gol ketiga selepas 69 minit untuk melengkapkan kemenangan.
REUTERS