Aliran trafik sesak di lebuh raya utama

Kuala Lumpur: Aliran trafik masih sesak dan perlahan di beberapa lebuh raya utama berikutan pertambahan jumlah kenderaan susulan orang ramai pulang ke kampung halaman menjelang sambutan Aidilfitri beberapa hari lagi.

Tinjauan menerusi akaun rasmi Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga 3 petang tadi mendapati beberapa laluan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur dan Lebuhraya Utara-Selatan masih perlahan.

Trafik perlahan dilaporkan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur dari Kampung Batu 12 Gombak ke Genting Sempah; selepas terowong ke Bukit Tinggi; Bukit Tinggi ke Lentang dan persimpangan CSR ke persimpangan Bentong Timur.

Pengaktifan ‘smartlane’ di KM366.8 hingga KM354.0 arah utara laluan antara Slim River ke Sungkai, namun lorong paling tinggi boleh dilalui dengan trafik perlahan di lokasi.

Menurut akaun rasmi Twitter Plus Trafik, aliran trafik perlahan dilaporkan di beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dari Slim River ke Tapah; Tapah ke Gopeng; Bukit Merah ke Alor Pongsu, Ipoh Utara ke kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak; Bandar Cassia ke Bukit Tambun; Juru Auto City ke Perai dan Seberang Jaya ke Sungai Dua.

Terdapat beberapa kemalangan dilaporkan di Lebuhraya Utara-Selatan termasuk di Kilometer (KM) 231.5 arah utara dari terowong ke Kuala Kangsar menyebabkan lorong kiri terhalang dan trafik perlahan di lokasi.

Satu lagi kemalangan di lebuh raya sama dilaporkan di KM194.1 arah selatan dari Bukit Merah ke Taiping Utara, namun tiada lorong terhalang dan trafik lancar di lokasi.

Kemalangan juga dilaporkan di KM234.1 arah utara dari Simpang Ampat ke Pedas Linggi dengan lorong kiri dan lorong tengah terhalang menyebabkan trafik perlahan di lokasi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di https://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di https://www.twitter.com/LLMtrafik.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker