Empat sekeluarga terperangkap banjir diselamatkan

Kota Tinggi: Empat sekeluarga diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat selepas rumah mereka di Kampung Muhibbah, Tanjung Serindit, di sini, dinaiki air awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Noor Ikhson Syukor berkata, dalam kejadian 7.47 pagi itu, hujan lebat menyebabkan kawasan kampung dinaiki air setinggi 0.5 meter.

Katanya, lapan anggota bomba bersama sebuah jentera, pacuan empat roda dan bot fiber dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.



“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati empat sekeluarga terperangkap dalam banjir di dalam rumah mereka.

“Mangsa membabitkan lelaki warga emas berusia 82 tahun, lelaki berusia 56 tahun, wanita berusia 54 tahun dan remaja lelaki berusia 16 tahun.

“Mangsa diselamatkan dengan bot fiber dan dipindahkan ke dewan orang ramai di kampung itu selepas penilaian dibuat bersama ketua kampung berkenaan,” katanya hari ini.

Noor Ikhson berkata, operasi ditamatkan jam 8.45 pagi tadi selepas semua empat mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat.



Hujan lebat awal menyebabkan beberapa kawasan di Kota Tinggi mulai dinaiki air awal pagi ini.

Ia termasuk Tanjung Balau di Desaru dan Sungai Mas dengan dijangka pusat pemindahan sementara (PPS) akan mula dibuka di daerah itu menjelang tengah hari.

Hujan lebat masih berlaku di Kota Tinggi dengan ramalan cuaca meramalkan ia berterusan hingga petang ini.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button