Gol solo Alvarez seperti jaringan Maradona

DOHA: Gol kedua Argentina sumbangan Julian Alvarez ketika mengalahkan Croatia mencuri tumpuan dunia malah gol solo itu pantas disamakan dengan jaringan Diego Maradona berdepan England pada 1986 sekalipun dia memerlukan sedikit tuah.

Alvarez, 22, turun ke bawah sedikit untuk membantu menangani sepakan percuma Croatia pada separuh akhir pagi tadi apabila Argentina berjaya melancarkan serangan balas pantas.

Pada awalnya kapten Lionel Messi dijatuhkan di bahagian tengah dan bola itu singgah di kaki Alvarez hanya beberapa meter selepas garisan tengah. Dari situ dia melakukan larian solo mengagumkan, mengelakkan diri daripada kepungan pertahanan Croatia.

Josip Juranovic pada mulanya dilihat berjaya membentesnya tetapi bola itu kembali berada di kaki Alvarez. Pertahanan kiri Borna Sosa juga dilihat berpeluang untuk mengekang serangan itu namun tampanannya juga kembali melantun di kaki penyerang muda Manchester City itu.



Alvarez kemudian meneruskan larian ke dalam kotak penalti dan merembat masuk melepasi Dominik Livakovic untuk membantu pasukannya mendahului 2-0 lima minit sebelum rehat.

Di sebalik elemen dia bernasib baik, gol itu dibandingkan dengan jaringan Maradona oleh warganet.

Seorang peminat menulis: “Gol dijaringkan Julian Alvarez lebih baik berbanding Maradona pada 1986.”

Peminat kedua yang teruja membuat ciapan: “Alvarez melakukan gol Maradona.”



Manakala peminat ketiga lebih teruja dengan menciap: “Roh Maradona dalam Julian Alvarez.”

Alvarez turut memainkan peranannya bagi gol pertama Argentina. Penyerang itu berdepan sesama sendiri dengan Livakovic sebelum cuba menyungkit bola melepasi penjaga gol itu tetapi mendapati dirinya dijatuhkan.

Pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti dengan Messi tidak melakukan sebarang kesilapan dari jarak 12 ela.

Alvarez kemudian menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-69, menampan bola masuk susulan umpanan sensasi Messi. Dia kemudiannya digantikan beberapa minit kemudian oleh Paulo Dybala.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker