Ismail Sabri perlu pikul tanggungjawab kekalahan BN
'Top 5' juga perlu bertanggungjawab
Oleh – Bakhtiar Omar
Kekalahan BN bukanlah terletak keatas seorang individu sahaja memandangkan BN menyertai PRU sebagai sebuah parti yang besar. Bekas Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Umno, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob juga perlu tampil bagi mengambil tanggungjawab bersama kekalahan BN pada PRU15.
Banyak kelemahan berlaku walau disedari namun kerana mahu ‘menjaga hati’, akhirnya Barisan Nasional menjadi korban.
Kelewatan pembubaran Parlimen mempengaruhi ‘mood pengundi’ juga merupakan faktor yang telah memerangkap BN. Tempoh CSA dengan pembangkang dijadikan alasan untuk melengahkan pembubaran.
Ini ternyata memberi ruang dan peluang kepada pembangkang ketika itu mengumpul semuala kekuatan setelah kalah teruk di 2 PRN yang diadakan sebelum ini.
Ismail Sabri turut dinamakan sebagai calon Perdana Menteri jika BN menang malah beliau juga dijadikan ‘poster boy’ BN tetapi pengundi hilang semangat, kerana pendedahan ‘perjanjian’ antara Ismail dan Muhyiddin.
Pihak yang diamanahkan bagi menjaga imej Ismail pula tidak menjawap isu tersebut dengan baik sebaliknya mereka lebih selesa ‘mencari gaduh’ dengan netizen yang mengkritik perjanjian tersebut.
Apa yang berlaku, Ismail dilihat lebih banyak ‘mencuci najis’ Perikatan Nasional dari menumpukan perhatian kepada BN itu sendiri.
Tidak cukup dengan pendedahan perjanjian, Presiden PEJUANG, Mukhriz Mahathir membuat kejutan beberapa hari sebelum berlangsungnya Pilihanraya Umum Ke-15.
BERAPA PERUNTUKAN PERDANA MENTERI DAN TIMBALAN PERDANA MENTERI?
Dalam pendedahan tersebut, Mukhriz menyatakan permintaan Muhyiddin kepada Ismail Sabri. Menurut Mukhriz, Muhyiddin bersetuju meletakkan jawatan dengan syarat Ismail Sabri perlu menyerahkan sebahagian peruntukan Perdana Menteri kepadanya.
Bukan itu sahaja, Muhyiddin juga mahu seluruh peruntukan Timbalan Perdana Menteri diserahkan kepadanya sebagai ‘tebus talak’ untuk jawatan PM.
Persoalan yang perlu dijawap Ismail, benarkah dakwaan Mukhriz itu? Jika benar Ismail perlu tampil bagi menjawap berapa jumlah yang telah diserahkan beliau kepada Muhyiddin.
Sekiranya dakwaan tersebut merupakan fitnah, Ismail sewajarnya memulakan prosiding Undang-Undang terhadap Mukhriz.
Bercakap mengenai kelemahan, setiap pemimpin yang hadir dan pergi ada kelemahan tersendiri, jadi untuk menyalahkan hanya seorang individu dalam ‘perang’ adalah tidak adil kerana mana-mana peperangan merupakan peperangan berpasukan. Kalah atau menang mereka perlu kekal sebagai satu pasukan.
Mengambil tanggungjawab bersama atas kekalahan BN bukan hanya terletak kepada Presiden tetapi seluruh kepimpinan tertinggi BN.
Mereka yang berlaku khianat kepada parti serta tidak mementingkan parti perlu disingkir agar tidak terus menjadi barah kepada parti.
Apa yang perlu dilakukan, kaji dan lakukan perubahan dalam parti, cari kelemahan parti dan perbaiki tetapi jangan jadi seperti ‘tikus membaiki labu’.
BN perlu kekal sebagai satu pasukan besar untuk menebus kembali kekalahan berturut PRU14 dan PRU15.