Mechamato Movie kutip RM10 juta lepas enam hari

Kuala Lumpur: Selepas enam hari tayangan, filem animasi Mechamato Movie terbitan Animonsta Studios Sdn Bhd atau Monsta terus cemerlang apabila berjaya meraih kutipan RM10 juta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak, kutipan itu dilihat amat menggalakkan dan rata-rata penonton amat teruja dan terhibur dengan aksi serta lawak dalam filem terbabit.

“Ditambah pula musim cuti sekolah ini, pawagam-pawagam di seluruh negara terus dipenuhi oleh mereka yang hadir sekeluarga tidak kurang juga golongan remaja dan dewasa.

“Alhamdullilah, berkat sokongan rakyat Malaysia, filem ini berjaya mengutip RM10 juta dalam masa enam hari pertama tayangannya di pawagam seluruh negara. Ada kira-kira 150 buah pawagam yang menayangkan filem ini,” katanya.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara Raja Jastina Raja Arshad pula yakin kutipan itu akan berterusan meningkat meski bersaing dengan tayangan filem luar.

“Alhamdullillah sehingga sekarang kami mendapat banyak maklum balas yang sangat baik. Saingan seterusnya mungkin agak sengit dengan kehadiran filem antarabangsa.

“Namun, kami percaya dengan kualiti penghasilan, jalan cerita dan keunikan seni warisan dan budaya Malaysia. Sudah pastinya Mechamato Movie mampu bersaing,” katanya.

Sejak ditayangkan pada 8 Disember lalu, filem animasi popular itu terus mendapat pujian ramai. Rata-rata menyifatkan Mechamato Movie memang sangat berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Tayangan akan diteruskan lagi sepanjang cuti sekolah ini dan bagi mereka yang bernasib baik, Mechamato akan muncul di pawagam terpilih sepanjang kempen promosi filem  di seluruh negara.

Nantikan kemunculan Mechamato di lokasi-lokasi di Pahang, Terengganu dan Sabah pada hujung minggu ini.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker