Penalti ‘mencurigakan’ Argentina punca Croatia tewas
Doha: Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic berkata keputusan yang dipertikaikan untuk memberikan penalti kepada Argentina mengubah rentak permainan aksi separuh akhir Piala Dunia hari ini yang menyaksikan skuad bimbingannya tewas 0-3.
Lionel Messi meledak gol pembukaan menerusi sepakan penalti selepas penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic dilihat bertembung dengan Julian Alvarez, yang turut menjaringkan dua gol untuk Argentina di Stadium Lusail.
“Segala-galanya di tangan kami. Kami bermain dengan baik selama setengah jam dan menguasai bola. Kami bukan diancam tetapi menguasai permainan,” kata Dalic yang mendakwa pasukannya sepatutnya diberikan sepakan sudut sebelum sepakan penalti itu.
“Kami melepaskan satu gol yang sangat mencurigakan. Situasi yang membawa kepada penalti…ia adalah terlalu murah, sejujurnya terlalu mudah (memberikan sepakan penalti).”
“Penjaga gol kami melakukan apa yang boleh dilakukannya dan ini adalah peraturan baharu. Gol itu mengubah segala-galanya.”
Dalic juga kecewa kekurangan penjaring gol tulen dalam pasukannya.
Croatia mencipta sedikit peluang dan hanya mempunyai dua percubaan tepat sepanjang perlawanan.
“Saya mengucapkan tahniah atas kemenangan Argentina. Kami perlu bersatu dan bangkit semula. Saya tidak boleh menyalahkan barisan pemain. Kami akan bersaing untuk tempat ketiga.
“Kami sudah melakukan persiapan dengan rapi tetapi kami tidak mempunyai penyerang tulen,” kata Dalic.
AFP