Pengeluaran getah asli negara susut 10.3 peratus

KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli (NR) Malaysia menurun 10.3 peratus kepada 31,795 tan pada Oktober 2022 berbanding 35,460 tan pada September 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Output NR turut menunjukkan penurunan 26.3 peratus tahun ke tahun daripada 43,127 tan pada Oktober 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sektor pekebun kecil menyumbang 87.8 peratus daripada pengeluaran manakala sektor estet sebanyak 12.2 peratus.

Jumlah stok NR pada Oktober 2022 merosot 0.3 peratus kepada 198,122 tan pada Oktober 2022 berbanding 198,706 tan pada bulan sebelumnya.



Daripada jumlah ini, kilang pemproses getah menyumbang sebanyak 90.8 peratus, diikuti kilang pengguna getah (9.1 peratus) dan estet getah (0.1 peratus), katanya.

Beliau berkata, eksport NR Malaysia berjumlah 41,548 tan pada Oktober 2022 yang merosot 23.8 peratus berbanding 54,542 tan pada September 2022.

China terus kekal sebagai destinasi utama bagi eksport NR iaitu 56.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Oktober 2022, diikuti Jerman (8.2 peratus), Brazil (3.3 peratus), Finland (3.2 peratus) dan Iran (3.0 peratus).

“Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.



“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.1 bilion pada Oktober 2022, berkurangan 13.2 peratus berbanding RM1.3 bilion pada September 2022,” katanya.

Harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan 2.2 peratus kepada 466.42 sen sekilogram pada Oktober 2022 daripada 476.76 sen sekilogram pada bulan sebelumnya manakala sekerap meningkat 1.2 peratus kepada 471.29 sen sekilogram daripada 465.86 sen sekilogram sebelum ini.

Harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia menurun antara 0.6 hingga 2.1 peratus.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker