Saham pengasas Public Bank bakal diwarisi amanah keluarga
Pegangan saham mendiang Pengasas dan Emeritus Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow di dalam bank yang diasaskannya pada tahun 1965 itu dijangka akan diserahkan kepada syarikat amanah keluarga buat masa ini.
Penganalisis Maybank Investment Bank, Desmond Ch’ng, berkata mendiang memegang 23.4 peratus kepentingan di dalam Public Bank, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM19.9 bilion berdasarkan harga penutup saham kumpulan perbankan ketiga terbesar di Malaysia dari segi aset itu pada RM4.39, Isnin lalu.
“Saham Public Bank diniagakan pada nisbah harga berbanding nilai perusahaan tertinggi dalam sejarah bagi sektor perbankan, selain diperkukuhkan dari segi pulangan ke atas ekuiti (ROE) yang juga tertinggi dalam industri.
“Sebarang usaha pengambilalihan dan penggabungan (M&A) akan menjadi proses yang menelan belanja besar kepada mana-mana pihak domestik yang mahu berbuat demikian, pada pandangan kami.
“Kami menjangkakan pegangan saham (mendiang) akan diserahkan kepada amanah keluarga, pada peringkat ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Selain mendiang, dua lagi pemegang saham terbesar Public Bank adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu sebanyak 14.5 peratus dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP sebanyak 4.1 peratus.
Mengulas lanjut, Ch’ng berkata, walaupun kehadiran mendiang pastinya akan dirindui, operasi Public Bank sepatutnya berjalan seperti biasa di peringkat kumpulan perbankan kerana ia sudah diserahkan kepada pasukan yang berkebolehan.
“Pengurusan Public Bank kekal utuh dengan Lai Wan (berumur 79 tahun) sebagai Pengerusi, Tan Sri Tay Ah Lek (79) sebagai Pengarah Urusan, dan Datuk Chang Kat Kam (67) sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif selain dua Ketua Pegawai Operasi Kanan iaitu Cik Chang Siew Yen (53) dan Datuk Sulaiman Abd Manap (65),” katanya.
Mendiang tokoh perbankan itu adalah antara individu penting dalam pembangunan institusi kewangan di Malaysia dan individu keempat terkaya di Malaysia berdasarkan senarai Forbes dengan nilai kekayaan sebanyak RM26 bilion.
Hong Piow memulakan kerjaya perbankannya pada tahun 1950 sebagai kerani bank di Overseas-Chinese Banking Corporation Ltd sebelum dinaikkan pangkat kepada pegawai dalam tempoh lima tahun.
Mendiang kemudiannya menyertai Malayan Banking Bhd sebagai pengurus pada 1960 sebelum pada 1964 dinaikkan pangkat ke jawatan Pengurus Besar pada usia 34 tahun.
Hong Piow kemudian meninggalkan Malayan Banking untuk menubuhkan Public Bank pada 1965.
Sejak itu, mendiang menyelia evolusinya menjadi sebuah institusi kewangan moden dan bersepadu dengan rangkaian luas lebih 200 cawangan domestik dan di luar negara.
Mendiang memegang jawatan utama dalam pelbagai organisasi seperti Yayasan Awam, Malaysia dan LPI Capital Bhd.
Hong Piow dilahirkan di Singapura pada 14 Mac 1930 dan mengikuti pendidikan formal rendah dan menengah di Sekolah Cina Anglo di republik itu.
Public Bank mula disenaraikan di Bursa Malaysia pada 1967. Sejak itu, kumpulan perbankan itu semakin berkembang kukuh dengan 293 cawangan dalam negara, 150 cawangan luar negara dan lebih 19,000 kakitangan, dengan kehadiran di pasaran seperti China, Hong Kong, Kemboja, Vietnam, Laos serta Sri Lanka.
BHOnline