Aaron-Wooi Yik yakin masih ada peluang layak

Aaron-Wooi Yik yakin masih ada peluang layak

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik percaya pintu untuk mereka layak ke saingan Jelajah Dunia Akhir BWF masih terbuka biarpun ketika ini berada di kedudukan ke-14 dalam ranking kejohanan akhir musim itu.

Hanya lapan pasangan terbaik dalam ranking Jelajah Dunia Akhir layak beraksi di kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$1.5 juta (RM6.23 juta).

Bagi merealisasikan matlamat itu, Aaron-Wooi Yik perlu untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir dalam dua kejohanan iaitu Masters Indonesia dan Terbuka Indonesia – dua kejohanan terakhir dalam kalendar Jelajah Dunia, bagi melonjakkan kedudukan ke dalam kelompok lapan terbaik.



Masters Indonesia akan bermula 16 hingga 21 November ini manakala Terbuka Indonesia berlangsung pada 23 hingga 28 November dengan kedua-dua kejohanan berlangsung di Bali.

“Peluang masih ada tetapi kami tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri. Sudah pasti kami akan mempamerkan prestasi terbaik kami untuk menghasilkan keputusan yang positf dalam kedua-dua kejohanan itu.

“Kami perlu sekurang-kurangnya mara sehingga suku akhir tetapi sekiranya dapat mara lebih daripada itu adalah lebih baik,” kata Aaron yang memenangi pingat gangsa bersama Wooi Yik di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Julai lalu.

Sebagai rekod, pasangan yang muncul naib juara Seluruh England 2019 itu sebelum ini dua kali berturut-turut layak beraksi di Jelajah Dunia Akhir bermula edisi 2019 dan 2020.



Aaron-Wooi Yik akan membuka tirai kempen Masters Indonesia menentang pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy manakala di Terbuka Indonesia mereka dijadual bertemu Mark Lamsfuss-Marvin Seidel di pusingan pertama.

Aaron-Wooi Yik yakin masih ada peluang layak



Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman Facebook kami


Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker