Bekalan telur import dari India tiba



PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) membenarkan kemasukan telur ayam import dari India pagi ini melalui laluan udara sebagai fasa percubaan.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini, memaklumkan ia bagi memastikan telur ayam yang diimport menepati segala piawaian yang ditetapkan.

“MAFS telah membawa masuk telur ayam dari negara luar untuk menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi negara sejak beberapa bulan yang lalu.

“Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk secara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.



“Pengujian yang dijalankan ini adalah bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih, halal dan bebas dari segala penyakit di samping melindungi industri penternakan negara,” katanya.

MAFS berkata, segala protokol dan tatacara yang ditetapkan oleh kerajaan juga sudah dipatuhi tanpa kompromi.

“Hasil ujian yang dilaksanakan oleh MAQIS dan DVS mendapati telur ayam yang diimport bebas dari segala penyakit, selamat dan mematuhi segala piawaian yang ditetapkan bagi kegunaan pasaran negara.

“Sehubungan itu, kementerian bersetuju memberikan kebenaran sementara kemasukan telur ayam daripada sumber luar dan kebenaran ini akan dikaji semula apabila bekalan telur dalam negara kembali stabil,” katanya.



Beliau berkata, inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan.

“Sebaliknya, bagi memastikan kecukupan bekalan telur ayam dalam negara dengan harga yang kompetitif selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker