Berita baik berkaitan telekomunikasi menjelang Krismas

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bakal mengumumkan berita baik berkaitan telekomunikasi untuk membantu mengurangkan impak kos sara hidup khususnya bagi golongan B40 dan M40 menjelang Krismas ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata beliau amat prihatin dengan isu Internet dan caj telefon iaitu antara keperluan asas rakyat.

“Tunggu Santa Klaus datang. Tapi kita memang lihat isu Internet dan caj telefon. Itu antara perkara yang saya prihatin,” katanya kepada media selepas majlis amanat menteri bersama warga KKD di sini, hari ini.

Fahmi berkata, terdapat permintaan di media sosial supaya beberapa perkara perlu diteliti dari segi kos dan mutu perkhidmatan.



“Saya tidak lihat isunya hanya sekadar harga, tetapi isu rangkaian dan capaian itu adalah isu penting,” katanya.

Beliau berkata, beberapa kawasan menghadapi masalah perkhidmatan kerana bukan semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) beroperasi di kawasan terbabit.

“Kajian telah dilakukan supaya kaedah segera dan secara berpatutan diambil untuk membantu sama ada dari segi harga atau mutu perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, kaji selidik sebuah agensi penguat kuasa menunjukkan 66 peratus responden mahu kerajaan memberi fokus kepada kos sara hidup.



Menyatakan KKD juga prihatin terhadap masalah yang melibatkan rangkaian 5G dan 4G, Fahmi berkata kerajaan komited ke arah usaha untuk menyediakan perkhidmatan yang bukan sahaja lebih murah, malah mempunyai kualiti lebih baik, dan perkara berkenaan akan dibincangkan dalam pertemuan akan datang dengan syarikat telekomunikasi.

Majlis amanat itu adalah yang pertama sejak beliau memulakan tugas sebagai Menteri Komunikasi dan Digital pada 5 Disember lepas.

Beliau berkata, sesi dialog awam juga akan diadakan bagi memahami isu dihadapi warga kerja KKD bagi memupuk suasana kondusif ke arah mencapai objektif kementerian.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker