Empat ADUN PN gagal cabar RUU antilompat parti

KUALA LUMPUR: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang, hari ini gagal memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mencabar peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti di negeri itu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, menolak permohonan kebenaran yang difailkan empat ADUN berkenaan melalui prosiding yang dijalankan secara aplikasi Zoom.

Dalam keputusannya, Tengku Maimun berkata, Mahkamah Persekutuan dalam prosiding rujukan sebelum ini sudah memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang berhak menggubal undang-undang untuk menentukan kelayakan ahlinya yang membentuk sebahagian daripada fungsi demokrasi berparlimen.



Sehubungan itu, katanya, mahkamah menolak permohonan keempat-pemohon berkenaan tanpa sebarang perintah berhubung kos.

Mereka ialah Zulkifli Ibrahim (PAS-Sungai Acheh), Afif Bahardin (PPBM-Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (PPBM-Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (PPBM-Telok Bahang), yang memfailkan saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

Keempat-empat ADUN itu memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mengambil keputusan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, peguam Datuk DP Naban, yang mewakili semua ADUN berkenaan, berkata DUN Pulau Pinang tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang antilompat parti dan ia melanggar kuasa berkaitan pemilihan dewan atau Ahli Parlimen.



Bagaimanapun, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar menegaskan, DUN Pulau Pinang mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan antilompat parti di bawah perlembagaan negeri.

Pada 3 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan di bawah enakmen antilompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan serta Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button